Maut Tergelincir Mahu Memancing

Lumut: Seorang lelaki warga emas maut dipercayai terjatuh selepas tergelincir ketika mendaki laluan batu berbukit untuk memancing di Pantai Teluk Batik, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa Ching Bong Bui, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismadi Darusman berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 7.15 malam.

Menurutnya, sembilan anggota bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi untuk bantuan lanjut.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter ketika mendaki laluan batu berbukit dan anggota bomba menemui topi mangsa di bahagian atas.

“Anggota kemudian menemui mangsa di celahan batu bersama peralatan memancingnya pada jam 7.52 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir ke lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.50 malam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *