Jangan Sampai Allah Turunkan Bala -DPPKBB & PPUKBB

Dewan Pemuda PAS Kulim Bandar Baharu (DPPKBB) membantah penganjuran Himpunan Woman’s March yang diadakan pada 9 Mac 2019 lalu dan menyelar tindakan yang jelas menyentuh sensitiviti kaum wanita di Malaysia khususnya umat Islam.

Ketuanya Iskandar Shah berkata, slogan dan laungan “Hidup Wanita”, “Hidup LGBT”, “Hentikan Stereotaip dan Prejudis”, serta perjuangan kesaksamaan gender jelas bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia kerana ia berasal dari Barat dan Eropah malahan bercanggah dengan tata susila serta adat ketimuran di Malaysia.

Katanya, DPPKBB juga ingin mengingatkan bahawa di dalam Al-Quran, Allah SWT telah secara jelas melaknat , mencegah serta melarang amalan budaya songsang LGBT diamalkan.

“Perlakuan dan tindakan mempromosi dan mempertahankan hak LGBT dilihat sebagai mencabar perintah Allah SWT dan disifatkan amat memalukan serta merendahkan martabat wanita di Malaysia.

“Kaum wanita di Malaysia diseru agar tidak mengikuti ajaran songsang ini dan diharap agar terus membantah dan mencegah perbuatan songsang yang tidak mendatangkan manfaat kepada kaum wanita.

“DPPKBB mendesak agar kerajaan Pakatan Harapan mengambil tindakan serius dan sewajarnya bagi membendung himpunan hampir 1000 orang golongan LGBT(Lesbian,Gay,Biseksual dan Transgender) yang berarak dari pusat membeli belah Sogo ke Masjid lamek dan Dataran Merdeka tanpa permit dan kebenaran pihak polis.Himpunan atas nama kononnya memperjuangkan hak kesaksamaan kaum wanita yang bertentangan dengan adat ketimuran dan menyentuh sensitiviti ummat Islam di Malaysia harus dibendung dan dihalang pada masa akan datang,” katanya.

Ia menjadi satu peringatan jangan sampai Allah SWT menurunkan bala kerana kita membiarkan amalan songsang mewarisi kaum Nabi Luth satu ketika dulu hidup subur dan dibiarkan bermaharajalela di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kulim Bandar Baharu Mohd Fazil Amir Hamzah berkata, pendirian sama juga diutarakan pergerakan itu dan beliau mengingatkan pihak berkenaan supaya tidak menggunakan hak asasi untuk setiap aktiviti songsang.

Katanya, bukan saja dari segi agama, fitrah manusia juga tidak membenarkan sebarang pelakuan LGBT khususnya di negara Islam seperti Malaysia.

“Mereka ini sengaja mencabar sensitiviti Islam. Kita tidak boleh biarkan perkara ini berterusan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *