Food Bank Bantu Asnaf Dilancar Rabu Ini

Santuni asnaf menerusi Food Bank. Itu inisiatif Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha membantu golongan memerlukan mendapat makanan asas di ibu negara.

Diilhamkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, ia akan menjadi bank makanan terdiri daripada tepung, gula dan beras yang disumbangkan beberapa rakan strategik dan pertubuhan bukan kerajaan.
Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail berkata, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Ibu Pejabat JAWI akan dijadikan pusat pengumpulan barangan kering dan basah dan sukarelawan akan membungkus semula barangan sebelum diserahkan kepada mereka yang dikenal pasti.
“Program Food Bank Malaysia ini diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak JAWI amat berbesar hati untuk sama-sama melebar luaskan usaha murni ini bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, terutama sekali golongan kurang berkemampuan di Wilayah Persekutuan.
“Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan mengetuai agensi ini di peringkat persekutuan membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sukarelawan Dakwah Islamiah JAWI (SUDI), Sukarelawan PATRIOT dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Manakala JAWI akan menyelia di peringkat Wilayah Persekutuan,” katanya.
Mohd Ajib berkata, akan dilancarkan Fuziah pada Rabu ini, ia turut nmendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Nestle, Bilal Bhuiyan, KK Mart, Pasar Raya Besar Lulu, Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur dan Restoran Ali Maju.
“Senarai asnaf yang layak kita peroleh daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan buat permulaan bekalan makanan akan diagihkan kepada 200 asnaf berdaftar yang tinggal di sekitar Kampung Baru dan Projek Perumahan Rakyat San Peng, Kuala Lumpur serta beberapa pusat pengajian tahfiz yang berdaftar dengan JAWI.
“Barangan yang kita terima daripada penyumbang akan kita bungkus semula di ibu pejabat, selepas itu sukarelawan kita akan hantar ke rumah asnaf. Sebelum ini di Pulau Pinang sudah ada inisiatif begini dan setakat ini maklum balas daripada semua pihak adalah positif dan kita harap usaha ini dapat membantu mereka yang memerlukan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *