TIADA Perjanjian tempoh masa Anuar jadi PM

Perjanjian yang ditandatangani Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak menetapkan tempoh masa untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata tempoh masa tidak ditetapkan oleh pakatan itu sebagai menghormati kedua-dua pemimpin itu yang disifatkan lebih mengetahui berhubung perkara itu berbanding orang lain.

“Dalam perjanjian itu, kita menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri Kelapan. Bagaimanapun, tiada tempoh masa dalam perjanjian itu kerana kita percaya apa yang penting adalah kita tahu Anwar dan Tun Dr Mahathir memahami perkara ini lebih daripada orang lain dan boleh memutuskannya.

“Kita menghormati kedua-dua pemimpin ini dan mereka tahu perkara yang terbaik untuk dilakukan,” katanya yang juga Menteri Luar Negeri selepas mengadakan perbincangan dua hala dengan Setiausaha Luar United Kingdom (UK), Jeremy Hunt di Wisma Putra.

Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar Sin Chew Daily sebelum ini, Dr Mahathir berkata, beliau memerlukan sedikit masa iaitu lebih dua tahun sebagai Perdana Menteri kerana harus menyelesaikan banyak masalah yang ditinggalkan Barisan Nasional (BN).

Katanya, Anwar mengetahui hasratnya itu dan menegaskan Presiden PKR itu tidak membantah.
Saifuddin berkata, dalam pertemuan Anwar dan Dr Mahathir, kelmarin, Anwar turut menzahirkan sokongannya kepada Perdana Menteri itu untuk terus menjalankan tugas.

Sementara itu, ditanya berhubung masalah dalaman PKR antara Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Saifuddin enggan mengulas perkara itu.

“Azmin mempunyai sebab mengapa dia membuat kenyataan sebelum ini dan saya percaya PKR ada caranya yang tersendiri untuk menyelesaikan perkara ini. Saya rasa ia boleh diselesaikan antara Azmin dan Anwar,” katanya.

Mohamed Azmin dalam satu kenyataan sebelum ini meminta Anwar meneliti semula pelantikan jawatan utama parti dengan mengambil kira pandangan akar umbi.

Beliau mendakwa, pelantikan yang diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi ahli dan tidak akan membantu parti untuk terus maju.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *