SUV PERODUA terbaharu mula dibuka untuk tempahan

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) hari ini membuka tempahan untuk model terbaharunya, Perodua Aruz, iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, model baharu itu ditawarkan menerusi dua varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance dengan anggaran harga antara RM72,200 dan RM77,200.

Katanya, SUV itu juga menampilkan lima pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baharu, Amazon Green.

“Perodua Aruz adalah model transformasi keempat kami yang menetapkan piawaian baharu dari sudut kualiti, ruang, kecekapan bahan api dan keselamatan.

“Dengan pelbagai aspek yang dipertingkatkan, Perodua Aruz adalah antara SUV yang menawarkan nilai terbaik di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal berkata, Perodua Aruz turut menerima pengiktirafan lima bintang ujian Program Penilaian Keselamatan Kereta baharu di Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

“Turut menyumbang kepada penarafan lima bintang ASEAN NCAP bagi model baharu ini adalah ciri seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Daki (HSA), ISOFIX dan enam beg udara. Ciri-ciri ini terdapat pada kedua-dua varian.

“Selain itu, varian Advance dilengkapi sistem bantuan pemanduan selamat (ASA) yang dipertingkatkan, dinamakan sebagai ASA 2.0.

“Pembaharuan ciri ini adalah pengesan pejalan kaki sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dan kelajuan operasi yang ditingkatkan sehingga 100km/j untuk Amaran Pra Pelanggaran dan 80km/j untuk sistem brek Pra-Pelanggaran,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *