PERSIAPAN persekolahan terencat

Sesi persekolahan 2019 sudah bermula namun persiapan bagi sebahagian 229 anak yatim dan miskin di Madrasah Pusat Rawatan Amal, Sungai Petani, Kedah, masih lagi belum mencukupi malah mereka terpaksa menggunakan baju dan serta kasut yang sudah rosak.

Situasi berkenaan menyebabkan hampir 38 guru di madrasah berkenaan binggung dan perlu bekerja keras dengan melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung keperluan berkenaan malah terpaksa ‘menebal muka’ meminta simpati orang ramai.

Guru di madrasah berkenaan yang dikenali sebagai Ahmad Khomaini Muaz,32, memaklumkan kelengkapan persekolahan bagi pelajar sekolah menengah sudah mencukupi namun bagi murid sekolah rendah pula ada yang tidak mempunyai baju dan kasut baharu.

Katanya, kos keseluruhan membeli kelengkapan persekolahan mencecah RM45,000 termasuk yuran dan barangan keperluan lain yang perlu dijelaskan segera.

“Kami menitik beratkan pendidikan untuk anak yatim dan miskin ini sekali gus mahu memastikan mereka memerlukan barangan kelengkapan sekolah yang mencukupi bagi memulakan sesi persekolahan 2019.

“Setakat ini, kami ada menerima sumbangan daripada orang ramai dan syarikat namun jumlah berkenaan masih lagi belum mencukupi menyebabkan guru terpaksa melakukan pekerjaan lain bagi menampung keperluan berkenaan,” katanya, di sini.

Ahmad Khomaini berkata, semua guru berkenaan hanya menabur bakti di madrasah terbabit secara percuma dan melakukan pekerjaan lain seperti berniaga untuk menampung perbelanjaan harian.

“ Pada cuti sekolah baru-baru ini, semua anak yatim berkenaan tidak dibawa bercuti dengan mereka hanya duduk di asrama saja kerana kami mahu mengurangkan kos perbelanjaan.

“Oleh itu, kami mahu menyediakan kelengkapan persekolahan baharu supaya mereka boleh memulakan persekolahan dengan gembira dan lebih bersemangat,” katanya.

Selain itu, katanya, semua penghuni madrasah berusia lingkungan tujuh hingga 18 tahun bersekolahan di sekolah kebangsaan dan berasrama penuh bagi memastikan mereka tidak ketinggalan daripada segi pendidikan.

“Kami juga adalah madrasah yang berdaftar dan dipantau oleh pihak berkaitan dengan mematuhi segala standard operasi yang sudah ditetapkan.

“Walaupun kami tidak mencukupi daripada segi dana namun tidak pernah meminta penghuni untuk menjual produk atau meminta simpati daripada orang lain,” katanya.

Menurutnya, orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun rasmi Madrasah Pusat Rawatan Islam 5021 7500 2459 (Maybank).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *