KES AKHYAR RASHID-KFA kekal keputusan untuk bawa ke CAS

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kekal dengan keputusan untuk membawa kes berhubung kontroversi membabitkan Akhyar Rashid terbabit ke Mahkamah Timbang Tara (CAS) bagi membantah tindakan membawa pemain itu ke pasukan lain melalui pintu belakang.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pihaknya hanya akan berpuas hati selepas menerima keputusan CAS yang membabitkan campur tangan pihak ketiga berhubung kontroversi berkenaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, keputusan membawa kes itu ke CAS bukannya kerana atas faktor wang ringgit namun ia dibuat bagi menegakkan peraturan yang ditetapkan.

 

“Perkara ini berbangkit bukan kerana Akhyar, kita rela beliau pergi pasukan lain tetapi ikut peraturan…kita mahu perbetulkan apa yang tidak betul kerana peraturan yang ada
perlu dipatuhi oleh semua pihak.

“Bila satu pasukan langgar peraturan dengan tawar imbuhan kepada pemain secara pintu belakang itu boleh menyebabkan pihak lain mengalami kerugian. Cara itu tidak betul dan sebab itu kita bantah dan mahu CAS yang teliti dan buat keputusan berhubung isu ini,” katanya pada sidang media, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KFA akan kekal dengan dengan keputusan untuk membawa kes perpindahan Akhyar CAS atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pada masa sama, Mukhriz berkata, pihaknya juga melihat keputusan yang dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menolak rayuan dan menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar sebagai sesuatu yang tidak adil.

“Keputusan sebelum ini dibuat hanya di antara FAM dan Akhyar, KFA sendiri tidak dijemput. Apabila kita hendak bawa perkara ini ke CAS cakap boleh berbincang pula jadi jalan terbaik adalah dengan membiarkan CAS buat keputusan dan apa juga keputusan kita terima kerana itulah tujuan utama libatkan CAS.

“Kita mahu bertegas kerana kalau perkara ini boleh jadi kepada KFA, mungkin ia boleh jadi juga kepada pasukan lain dan saya juga harap FAM bertegas dengan peraturan yang dibuat oleh persatuan itu sendiri dan tidak pilih kasih,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa KFA tidak menjaga kebajikan pemainnya, Mukhriz yang juga Menteri Besar bagaimanapun menafikan perkara terbabit dengan menyatakan KFA sangat prihatin meskipun hanya sebuah pasukan kecil.

Katanya, soal kehilangan pemain berlaku dalam mana-mana pasukan dan ia tiada kaitan dengan kegagalan KFA menjaga kebajikan pemain.

Kenyataan Mukhriz itu dipercayai merujuk kepada pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membuat kenyataan bahawa KFA sepatutnya menyalahkan diri sendiri dalam kontroversi membabitkan Akhyar kerana ia menunjukkan bahawa sesebuah pasukan itu tidak menjaga pemain dengan baik.

“Kami pasukan kecil, miskin jadi seolah-olah tak pandai jaga pemain. Di pihak sana pun banyak juga pemainnya yang hilang. Dengan Akhyar sendiri, kita pernah bertanya apa yang dia harapkan untuk masa hadapan dan kita turut cadangkan supaya dia mengembangkan bakatnya dengan bermain dengan pasukan luar negara, jadi tidak timbul isu tidak prihatin dengan pemain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *