ECRL mungkin akan diteruskan dengan skala lebih kecil

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pembinaannya pada Julai tahun lalu berkemungkinan mampu diteruskan dalam skala yang lebih kecil sekiranya China bersetuju dengan langkah berkenaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia dan China masih membincangkan perkara berkenaan dan sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian terbaik.

“Apa yang kita cuba lakukan kini adalah memastikan kita tidak berbelanja terlalu besar dan China tidak mengalami kerugian,” katanya kepada Chew Daily, kelmarin.

Menurut beliau, Malaysia kini dalam dilema sama ada ingin membatalkan projek ECRL atau meneruskannya dengan perbelanjaan yang besar.

“Malaysia bagaimanapun akan cuba sedaya upaya untuk meminda projek berkenaan atau mencari alternatif lain.

“Kita sedang berunding secara rasmi atau tidak rasmi bersama mereka (China). Bagi mereka, jika ia adalah kontrak yang menguntungkan, mereka tidak mahu melakukan sebarang perubahan,” katanya.

Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada 9 Mei tahun lalu, Pakatan Harapan (PH) yang kini diketuai oleh Dr Mahathir berjanji untuk menamatkan projek ECRL memandangkan kontrak dan terma pinjaman tidak menguntungkan Malaysia.

“Tetapi, perkara ini tidak mudah untuk dilaksanakan kerana kita terikat dengan kontrak. Ini kerana kita tidak mempunyai wang untuk membayar China…kita sudah pun membayar sejumlah wang kepada China selepas penangguhan itu,” katanya.

Projek ECRL yang bernilai RM81 bilion itu diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2016. Pembinaan itu akan dikendalikan oleh China Communication Construction Company Ltd (CCCC) manakala pembiayaan itu akan disediakan oleh Export-Import Bank of China (Exim Bank of China).

Malaysia akan memperoleh sebahagian daripada pinjaman dari Exim Bank of China dengan syarat bahawa CCCC membina laluan keretapi.

Projek keretapi sepanjang 688 kilometer (km) itu jika dibina, akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan dan akan dibina dalam dua fasa.

Dr Mahathir berkata, ECRL adalah satu pembaziran kerana kerajaan tidak akan mendapat apa-apa pulangan daripada projek itu selain kerajaan tiada cara untuk membayar cukai syarikat konsesi itu.

Beliau berkata lagi, kerajaan tidak pernah menerima sesen pun keuntungan daripada perkhidmatan keretapi Pantai Timur biarpun penggunaanya berat.

“Dalam projek ECRL, terdapat beberapa individu yang miskin yang mana mereka tidak menjalankan perniagaan besar seperti mereka di keretapi Pantai Timur, jadi anda tidak boleh mendapatkan pelaburan anda semula.

“Pulangan daripada projek itu hampir kepada ‘sifar’ dan kita perlu membayar hutang sebanyak RM55 bilion,” katanya.

Dr Mahathir juga menafikan bahawa dia adalah pemimpin “pro-Jepun, anti-China”, dengan menyatakan bahawa dia mempertahankan China ketika dia menghadiri forum di Jepun.

“Mereka bertanya mengenai perasaan saya terhadap China, saya berkata bahawa Malaysia sentiasa berhubung dengan China dan kita adalah rakan dagang, kita sentiasa mesra dengan China,” katanya.

Jelasnya, China datang ke Malaysia untuk berdagang berabad lalu tetapi tidak pernah menjajah Malaysia, tidak seperti Portugis.

“Jadi, negara mana yang harus (anda) takutkan? China atau Eropah?” soalnya.

“Orang Cina mengenal saya sebagai rakan mereka. Sekarang, saya dikatakan tidak ramah kepada mereka, semata-mata kerana kerajaan sedang mengkaji projek ECRL dan Paip Gas Trans-Sabah (TSGP)?

“Kerajaan China memahami masalah kewangan kita, bukannya kita tidak mahu projek ini, tetapi ini adalah projek yang teruk pada awal lagi dan kita tidak mampu untuk menampung perbelanjaannya,” katanya sambil menambah bahawa dia akan ke China jika perlu.

Dr Mahathir juga berkata, Putrajaya tidak akan memulangkan dua panda yang diberikan kepada Malaysia pada 21 Mei 2014 lebih awal dari tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.

“Tidak, ini adalah hadiah,” katanya, mengakui panda adalah simbol yang bermakna kepada hubunga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *