Duit RM3 Juta Dibeku

“Saya hanya mahu wang saya semula untuk bayar segala hutang perniagaan. Saya tidak ada kena mengena dengan apa juga aktiviti salah, lebih 20 tahun saya berniaga besi ini. Individu yang dikaitkan itu pun saya tidak kenal,” kata seorang ahli perniagaan Basirun,70, yang mendakwa duit di dalam akaun milik syarikatnya dibekukan sebanyak RM3 juta sejak 10 tahun lalu.

Katanya, dia berdepan masalah itu selepas seorang saudaranya membuka syarikat yang mirip nama syarikatnya dan disabitkan dengan aktiviti penggubahan wang haram oleh Bank Negara menyebabkan asetnya dibekukan.

Menurutnya, dia sudah berkali-kali mendapatkan penjelasan institusi kewangan itu namun gagal malah sehingga kini, dia masih belum mendapat semula semua duit di dalam akaun syarikatnya yang sudah pun dilelong beberapa tahun lalu.

“Syarikat yang saya usahakan lebih 20 lalu tiada masalah pada awalnya. Sehinggalah seorang saudara saya memaklumkan ingin membuka sebuah syarikat lain menggunakan nama seakan-akan nama syarikat saya, cuma berbeza sedikit saja.

“Begitu pun, saya masih boleh berniaga macam biasa dengan bantuan 80 orang pekerja. Tidak lama kemudian saya dihubungi pegawai bank mengadakan syarikat terbabit dalam penggubahan wang haram sedangkan saya tidak tahu apa-apa. Semakan mendapati, ia adalah syarikat milik saudara saya, tetapi kenapa wang saya yang dibekukan, bukan sikit, RM3 juta,” katanya ketika membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) semalam.

Basirun berkata, ekoran masalah itu, dia kini terpaksa menjual semua aset termasuk kenderaan yang dimiliki untuk membayar hutang perniagaan dan membiayai perbelanjaan lain kerana sebelum ini, dia bergantung kepada perniagaan berasaskan besi itu.

Katanya, dia sudah beberapa kali memberi penjelasan kepada bank berhubung isu berkenaan tetapi sehingga kini masih belum mendapat jawapan bila dia boleh mendapatkan wangnya semula.

 

“Saya hanya mahu bayar hutang. Banyak pembekal yang saya hutang kerana sebelum ini saya tidak ada apa-apa masalah pun. Kasihan juga kepada semua pekerja saya yang terpaksa diberhentikan, tapi saya tak boleh buat apa-apa lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Bank Negara berhubung isu berkenaan kerana jika benar seperti didakwa, ia adalah satu penganiayaan lepada ahli perniagaan itu.

“Berdasarkan aduan, kita dapati beliau berhak mendapat wangnya semula kerana kesalahan dilakukan syarikat lain, yang kebetulannya nama hampir serupa. Apapun, kita harap ia dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *