Zahid Serah Tugas Kepada Tok Mat

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas-tugas Presiden.
Di dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau berharap polemik mengenai kepimpinan UMNO ditamatkan dan mahu kepimpinan di peringkat akar umbi memberikan fokus untuk memperkukuhkan parti.
Beliau turut menyeru tiada lagi tindakan keluar parti oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri selepas ini.
“Demi keutuhan UMNO dan pimpinan di semua peringkat terutama Ahli Parlimen, ADUN serta UMNO bahagian-bahagian, langkah menyelamatkan situasi tersebut harus dilakukan segera.
“Saya merasai kegelisahan segelintir pimpinan UMNO kerana khuatir mereka akan menerima tekanan, siasatan dan tuduhan demi tuduhan seperti yang dialami.
“Akar umbi amat mengharapkan pimpinan UMNO bersatu hati untuk menterjemahkan hala tuju UMNO sesuai dengan slogan baru UMNO Bangkit,” katanya dalam kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *