“Kepada Yang Tinggal, Mari Bersama Kita Lakukan” – Shamsul Anuar Nasarah

Situasi politik yang berlaku kepada UMNO Sabah ada ruang untuk menambah baik kepimpinan parti sekaligus mengembalikan keyakinan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ketika ini parti menghadapi cabaran dan dugaan besar, namun akan tetap berbakti untuk rakyat Sabah.

Katanya, prinsip “UMNO Mahu Menang Dan Kembali Berkuasa” yang diucapkan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah jelas dan perlu disahut ahli parti.

“Perlantikan Datuk Bung Moktar Radin adalah suatu langkah yang tepat ketika ini.
Malah kita percaya dengan gandingan muka muka baru ia akan lebih meningkatkan keyakinan rakyat kepada UMNO di Sabah. Situasi ini memberi peluang UMNO Sabah untuk dipulihkan segera dengan semangat dan jiwa baru serta berfungsi dengan sempurna.

“Adalah tidak boleh diterima apabila mereka yang meninggalkan parti dengan memberi alasan bahawa UMNO masih tiada halatuju yang jelas. Ini kerana segalanya telah dimaklumkan. Pucuk pimpinan telah menetapkan apa yang perlu dilakukan oleh pimpinan dan ahli parti disemua peringkat termasuk di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, cadangan untuk memberi kuasa autonomi yang UMNO Sabah inginkan juga sedang dipersiapkan. Jawatankuasa Khas bersama berkaitan dengannya juga telah dibentuk dan berfungsi.

Malah katanya, Presiden UMNO juga telah nyatakan persetujuan ketika perjumpaan dengan pimpinan UMNO Sabah di Bangunan UMNO Sabah di Kota Kinabalu. Justeru perkara ini sepatutnya tidak dipersoalkan lagi.

“Sebab itu UMNO percaya mereka meninggalkan UMNO sebenarnya dengan tujuan dan matlamat yang lain. Cuma hanya menjadikan halatuju kurang jelas sebagai alasan. Apatah lagi soal halatuju boleh dibincang dan dilakukan secara bersama jika kita sayangkan UMNO.

“Saya yakin masa depan UMNO di Sabah tetap kuat kerana UMNO menang banyak kerusi di Sabah pada PRU14 lalu. Ini masa terbaik pimpinan baru yang berwibawa di bawa masuk bagi memimpin UMNO di Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *