Tok Mat Rayu Keputusan DUN Rantau

Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau terbatal dan tidak sah.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, rayuan itu difailkan pagi tadi di Mahkamah Persekutuan iaitu sebelum tempoh memfailkan notis rayuan selama 14 hari berakhir petang ini.

“Keputusan untuk merayu dibuat setelah meneliti alasan penghakiman lisan dan juga selepas nasihat yang diterima daripada peguam untuk mempertahankan kerusi DUN Rantau.

“Rayuan ini difailkan untuk membebaskan saya daripada sebarang dakwaan salah laku semasa hari penamaan calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hakim Datuk Norazimah Omar pada 16 November lalu dalam keputusannya mengisytiharkan keputusan kerusi DUN Rantau dalam PRU-14 terbatal dan tidak sah dan mengarahkan pilihan raya kecil diadakan serta-merta.

Keputusan itu dibuat berikutan petisyen bagi membatalkan keputusan kerusi DUN itu yang difailkan oleh calon PKR, Dr. S. Streram.

Dalam PRU-14, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menang tanpa bertanding di kerusi DUN itu selepas Streram dihalang masuk bagi menghantar borang pencalonan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *