Rusuhan Kuil : Tiga Cadangan Ka Siong

Datuk Dr Wee Ka Siong

Rusuhan yang berlaku selama dua hari di Kuil Sri Maha Marimman Seafield sangat menyedihkan dan amatlah dikesali. Hakikatnya, punca masalah ini adalah berikutan pertikaian tanah tetapi ia turut mencetuskan pergeseran antara kaum.

Langkah-langkah segera perlu diambil bagi menangani masalah ini daripada menjadi lebih buruk dan parah.

Kerajaan PH seharusnya mempertimbangkan dan mengambil langkah-langkah berikut:

1. Rancangan pembangunan di projek One City itu perlu diberhentikan buat sementara waktu dan arahan henti kerja dikeluarkan serta-merta bagi membolehkan satu siasatan terperinci dijalankan dan mencari satu penyelesaian.

2. EXCO dan ADUN Kota Kemuning, YB Ganabatirau Veraman yang mengeluarkan kenyataan semalam dengan menyalahkan kumpulan tertentu daripada kaum dan agama tertentu sebelum menyuntingnya 3 jam kemudian kepada perkataan ‘gangster’ perlu memadamkan status itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kenyataannya itu mencetus rasa & kesan ketegangan antara kaum dan menjadikan sesuatu kaum dan agama itu sebagai sasaran.

3. Kesemua pemimpin kerajaan dan politik, terutama menteri kabinet, perlu BERHENTI mengeluarkan kenyataan umum mengecam atau membidas agensi penguatkuasaan termasuk polis. Sebarang rasa tidak puashati atau tidak bersetuju perlu dibincangkan secara tertutup sesama agensi terbabit menggunakan saluran kerajaan. Perlu diingatkan bahawa kamu adalah sebahagian daripada kerajaan dan agensi terbabit juga adalah sebahagian dari kerajaan. Berinteraksi dengan mereka untuk memahami dan bukan menuding jari secara melulu. Anda bukan lagi pembangkang.

Ini juga bagi mengelakkan agensi penguatkuasa dijadikan sasaran kebencian atau diperlekehkan.

Akhir sekali, saya mengecam sekeras-kerasnya serangan dilakukan terhadap seorang anggota bomba yang hanya menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai anggota bomba. Tiada sebarang justifikasi untuk melakukan serangan tidak berperikemanusian seumpama itu terhadap anggota bomba yang terbabit di mana saya difahamkan keadaannya ketika ini adalah kritikal dan bersabung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU). Apa dosanya untuk diperlakukan sedemikian rupa pada ketika beliau sedang menjalankan tugas yang diamanahkan?

Saya mendoakan Muhammad Adib agar dapat sembuh dan pulih seperti sediakala. Doa dan ingatan saya adalah pada Muhammad Adib dan keluarganya. Marilah kita turut berdoa agar anggota bomba muda ini segera sembuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *