“Nak Buat Benda Baik Pun Susah”

Rumah ibadat bukan Islam yang tidak ada permit serta kewujudan pasar raya persendirian dikatakan menjadi penyebab bantahan pembinaan sebuah pusat penyembelihan ayam halal di Selayang.

Sumber Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, ia menjadikan usaha untuk mewujudkan pusat bersepadu halal itu terhalang sejak 2015.

Sumber itu berkata, ada pihak berkepentingan yang bermatian cuba menggagalkan usaha berkenaan walaupun mereka sudah menceroboh rizab persempadanan antara Selangor dan Kuala Lumpur seluas 25 meter.

“Sebenarnya isu ini dijadikan modal peribadi untuk kepentingan perniagaan. Kita mahu beri manfaat kepada lebih 300,000 penduduk sekitar Selayang dan Gombak serta Lembah Klang.

“Pihak berkepentingan ini juga menggunakan peniaga di sekitar kawasan itu termasuk lebih 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘jadian’ semata-mata untuk menimbulkan sentimen,” katanya.

Sumber itu berkata, tanah seluas 25 meter itu juga digunakan untuk mendirikan bangunan kekal, biarpun tanpa kebenaran pihak berwajib sehingga mengganggu lalu lintas dan projek pelebaran jalan untuk keselesaan rakyat setempat

Menurutnya, pihak terbabit turut mengadakan bantahan dan mengganggu kerja-kerja pembinaan di tapak terbabit beberapa kali sebelum ini dengan alasa n sembahyang tetapi sebaliknya perhimpunan dan pelbagai rencana halangan diadakan

Difahamkan dengan adanya pusat penyembelihan berkenaan, orang ramai tidak perlu lagi ragu dengan status halal kerana terdapat 13 agensi berwajib yang bersama-sama memastikan ia disembelih dan diproses mengikut proses sepatutnya

Turut mencuri perhatian ialah ada campur tangan ahli parlimen luar kawasan yang terbabit dalam konspirasi itu.

“Projek itu mendapat sokongan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran. Tapi ada wakil rakyat lain masuk campur, “katanya.

Sementara itu aktivis PEMA, Sheikh Muhammad Farzerin, 22, berkata, sepatutnya usaha seperti itu tidak dihalang kerana ia baik untuk masyarakat keseluruhannya.

Katanya, ia bukan saja membantu ekonomi usahawan Islam malah, dalam konteks lebih besar, ia akan memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan ayam halal tanpa ragu-ragu.

“Sebab itu saya minta pihak berkuasa siasat apa yang berlaku, kita tidak mahu Islam diperkotak-katikkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *