Gangster Mula Masuk Sekolah?

 

Pergaduhan dua kongsi gelap dipercayai motif kepada pembunuhan seorang lelaki di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuong 1, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisoner Mohd Taib Ahmad berkata mangsa berusia 21 tahun itu ditemui mati dengan kesan tikaman manakala seorang rakannya cedera.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama tiga lagi rakannya pergi ke sekolah berkenaan untuk menghadiri karnival yang diadakan.

“Polis difahamkan, kedua-dua mangsa bersama tiga rakan mereka datang ke sekolah itu untuk menghadiri karnival jualan amal sebelum diserang sekumpulan lelaki

Mohd Taib berkata, tindakan pantas polis kemudiannya membawa kepada penahanan beberapa suspek untuk membantu siasatan.

“Polis telah memberkas 12 suspek berusia 15 hingga 21 tahun dan sedang memburu beberapa lagi rakan suspek.

“Siasatan awal tidak menolak kemungkinan kejadian disyaki berpunca daripada pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, pergaduhan tersebut tidak melibatkan mana-mana pelajar dari sekolah berkenaan.

“Cuma salah seorang daripada suspek yang ditahan sahaja merupakan bekas pelajar sekolah itu,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat manakala yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *