Doa Untuk TV Al Hijrah – Ku Seman

Saya suka dan tertarik dengan TV AlHijrah sejak lapan tahun lalu kerana konsep saluran televisyen Islam yang patuh syariah. Inilah satu-satunya saluran patuh syariah di negara kita.

Konsep ini dengan sendirinya memberi keunikan pada TV AlHijrah berbanding saluran televisyen lain. Astro Oasis juga menarik tetapi tidak dijenamakan sebagai patuh syariah.

Satu lagi yang memberikan keunikan pada TV AlHijrah ialah tidak menyiarkan isi kandungan berideologi kepartian. Jauh sekali menjadi perkakas parti-parti tertentu.

Sebalik lebih kepada fokus Islam sebagai cara hidup serta isu-isu hal ehwal Islam. Tidak ketinggalan forum yang mengupas persoalan falsafah dalam Islam.

Tetapi petang tadi saya sangat terkejut apabila TV AlHijrah menyiarkan temubual dengan ADUN (DAP) Ketari, Syefura Othman. Isunya bukan kerana DAP tetapi kandungan temubual menjurus pada ideologi politik.

Apakah tunggak TV AlHijrah sebagai saluran Islam yang patuh syariah kini telah terbuka pada promosi hal-hal politik kepartian? Maaf kalau saya ketinggalan perubahan yang berlaku di bawah kepimpinan baru AlHijrah.

Sebagai penonton saya mahu menegaskan bahawa topik yang dilontarkan oleh ADUN itu bukan sahaja tidak relevan malah menongkah tunggak AlHijrah.

Saya bimbang kalau tidak ditegur, TV Hijrah akhirnya “ke laut” bersama-sama idealisme politik parti yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Saya sentiasa mendoakan TV AlHijrah bergerak pada landasan yang asal. Harap igauan-igauan saya bahawa saluran ini menjadi perkakas Islam yang liberal dan sekular hanya igauan semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *