Semangat Chong Wei Demi Malaysia

 

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengaku hatinya remuk apabila diberitahu menghidap kanser hidung, beberapa bulan lalu.

“Saya menangis satu minggu … saya tidak boleh makan, tidur pun tidak boleh,” kata Chong Wei, dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), di sini hari ini.

Namun, katanya beliau harus kekal tenang ketika menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Taiwan.

“Saya dirawat oleh tujuh orang doktor, empat daripada mereka adalah peminat saya, dan mereka sangat mengharapkan agar saya dapat kembali bermain seperti biasa secepat mungkin,” katanya.

 

Chong Wei, 36, turut mendedahkan beliau baharu sahaja pulang dari rawatan susulan di Taiwan semalam (Rabu).

“Doktor lebih memahami keadaan tubuh saya. Buat masa ini, saya hanya menjalani latihan biasa, tiga kali seminggu untuk mengekalkan tahap kecergasan saya,” kata Chong Wei, sambil menambah latihan fizikal itu hanya dijalankan di rumah.

Memandangkan tahap kesihatannya, Chong Wei turut berkata keluarganya tidak menggalakkan beliau untuk kembali aktif dalam arena badminton.

“Isteri saya (Datin Wong Mew Choo) juga tidak begitu menggalakkan saya untuk menyambung karier saya ini. Namun, atas dasar sayangkan badminton, mereka akur dengan keputusan saya untuk terus bermain,” kata Chong Wei.

Sementara itu, Chong Wei berkata beliau tekad untuk meneruskan kariernya sehingga ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

Menurutnya, dia yakin kondisi kesihatannya sempurna dan mampu beraksi semula seperti yang dimaklumkan oleh tujuh pasukan doktor perubatan dari Taiwan.

“Saya sayang badminton dan ini untuk Malaysia,” katanya lagi. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *