Minta Polis Siasat Dakwaan Farid Kamil – Lokman Adam

Satu laporan polis dibuat Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan UMNO Malaysia ke atas pelakon popular Datuk Farid Kamil.

Ia berhubung kenyataan bahawa beliau cuba dirasuah sebanyak RM5 juta oleh kerajaan sebelum ini bagi memaafkan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Pengerusinya Datuk Lokman Noor Adam berkata, jelas terbukti Farid Kamil gagal melaporkan cubaan merasuah dirinya yang berlaku lebih enam bulan lalu.

“Ia satu kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009. Sekiranya disabitkan bersalah, Farid boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tidak ada sebab mengapa Farid Kamil tidak melaporkan perbuatan itu melainkan kenyataan tersebut sengaja direka bagi merosakkan imej bekas Perdana Menteri dan isteri beliau.

“Tidak timbul istilah takut kerana akta perlindungan saksi wujud ketika kejadian dikatakan berlaku dan dia boleh memohon perlindungan saksi,” katanya dalam satu kenyataan.

Isu itu dinyatakan pelakon itu dalam sebuah video yang dimuat naik dalam Youtube MyFokus Online (https://youtu.be/5eZYiX2kUGU) ketika Program TV Al Hijrah 10 malam semalam, berjudul “Nak jadi Artis ke Nak jadi Ahli Politik?”

Lokman berkata, beliau mengesyaki Farid menipu dalam video itu kerana ia berbeza dengan video terdahulu yang mengatakan bahawa dia telah dianiaya dua individu daripada sebuah pertubuhan kongsi gelap yang telah menuba dirinya.

“Kenapa kini, setelah Datuk Seri Najib tidak lagi berkuasa, Farid Kamil menuduh beliau dan isteri pula bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

“Perkara ini perlu disiasat polis supaya rakyat mengetahui kenyataan mana yang benar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *