“Jho Low? Tak Masuk Akallah” – Shamsul Anuar Nasarah

 

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah

“Saya bekas Pengerusi PTPTN. Saya tahu kenapa ianya sukar dilaksana. Jawapannya ada pada PTPTN. Jadi rujuklah kepada pengurusan PTPTN keadaan sebenar.

“Dan apabila memberikan jawapan sebegini rakyat pasti merasa malu mempunyai seorang Menteri Kewangan yang suka membuat kenyataan tanpa asas. Bahayanya ialah, pelbagai pihak boleh hilang keyakinan pada Menteri Kewangan. Maka kesannya tentulah rakyat”, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau menyifatkan tindakan kerajaan PH menjadikan Jho Low penyebab kegagalan mereka menunaikan janji memulakan bayaran balik di tangga gaji RM4000 adalah suatu yang “kelakar dan tidak masuk akal “.

Katanya, jika alasannya masalah fiskal, mungkin ini bolehlah diterima namun isu fiskal adalah akibat ketidakcekapan pengurusan ekonomi kerajaan PH sendiri.

“Sangat malang kalau Guan Eng tidak memahaminya kerana aliran kewangan PTPTN juga mempengaruhi kewangan negara. Kemudian apakah beliau memang tidak tahu atau sengaja tidak mahu tahu dari mana punca dana PTPTN yang digunakan untuk diberikan kepada pelajar ?

“Sepatutnya Menteri Pendidikan atau Pengerusi PTPTN memberikan maklumat jelas kepada Menteri Kewangan berkaitan kewangan PTPTN agar kenyataan yang tidak berasas tidak dikeluarkan. Atau mungkin juga Menteri dan Pengerusi yang menjaga PTPTN juga tidak memahaminya”, katanya dalam satu kenyataan.

Hakikatnya kata beliau, kewangan PTPTN tidak ada kaitan dengan Jho Low dan ianya mainan persepsi yang tidak berkesudahan oleh Guan Eng.

“Saya ingin nyatakan bahawa dalam setahun, PTPTN memerlukan antara RM3 hingga RM4 bilion untuk memastikan aliran kewangannya berjalan dengan baik.

“Dana ini penting untuk diberikan pinjaman kepada kira-kira 200,000 pelajar baru yang melanjutkan pelajaran ke pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi ( IPT ) dan sekitar 600,000 pelajar sedia ada di IPT dan juga perlu untuk membayar balik pinjaman PTPTN dari mana mana institusi kewangan mengikut tempoh sepatutnya”, katanya.

Menurutnya, ini bermakna, sumber kewangan PTPTN adalah pinjaman PTPTN dari institusi kewangan dan terbitan SUKUK yang dijamin kerajaan, di samping bayaran balik daripada peminjam.

Shamsul berkata, sejak 2003 PTPTN tidak lagi mendapat geran kerajaan malah sejak ditubuh hanya sekitar RM5.2 Bilion saja geran itupun sudah begitu lama.

“Bagaimana Guan Eng boleh kaitkan Jho Low sebagai punca ? Bukankah ini tidak masuk akal ?

“Saya rasional dalam soal ini, maka diakui bahawa melaksanakan potongan gaji baik kepada PTPTN kerana ia menstabilkan aliran kewangan PTPTN. Persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat ialah berkaitan janji kerajaan PH yang tidak ditunaikan, iaitu memulakan bayaran balik ditangga gaji RM4000. Ini yang dipersoalkan”, katanya.

Secara konsisten beliau nyatakan bahawa polisi bayaran balik ditangga gaji RM4000 hanya menguntungkan mereka yang telah mendapat pinjaman sebaliknya merugikan pelajar sediada di IPT, pelajar baru dan pelbagai pihak lain.

“Malah kewangan PTPTN akan terjejas teruk jika ianya dilaksanakan. Inilah antara alasan sebenar pada saya kenapa janji ini gagal dilaksanakan oleh Kerajaan PH.

“Kita boleh lihat kutipan tahun ini sehingga September 2018, saya difahamkan mengalami penurunan dan difahamkan hanya sekitar RM2.1 bilion berbanding tempoh yang sama iaitu RM2.2 bilion September 2016 dan RM3.1 bilion September 2017,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *