Seorang parah, sembilan cedera jeti runtuh

Seorang mangsa parah, manakala sembilan cedera dalam kejadian runtuhan jeti di Pulau Anak Tikus, Langkawi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, jeti yang digunakan pelancong untuk meninjau keindahan pulau itu dilaporkan runtuh.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malasia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.53 tengah hari.

“Sejurus itu, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera termasuk jentera Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Pulau Anak Tikus letaknya kira-kira lima batu nautika dari Jeti Kilim iaitu tempat pasukan bomba menerima mangsa,” katanya.

Zamani berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Jeti Kilim oleh agensi penyelamat dan bot pelancong.

“Difahamkan keseluruhannya terdapat 40 mangsa di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, sembilan mangsa dilaporkan cederadan seorang parah di bahagian pinggang dihantar ke Jeti Kilim untuk menerima rawatan awal,” katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Langkawi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *