BERHENTI mengungkit, pandang ke depan-Ismail Abd Muttalib

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diingatkan berhenti mengungkit perihal kerajaan terdahulu dan melangkah ke depan dalam melaksanakan agenda negara.

Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (BN-UMNO Maran) berkata, kini adalah masa bagi kerajaan sedia ada memenuhi tanggungjawab dan amanah diberi rakyat.

“Cukup-cukuplah menghina, mengherdik dan memburukkan pemimpin terdahulu. Tidak boleh dinafikan bakti kerajaan terdahulu amat besar kepada rakyat dan perlu diakui Yang Berhormat di dalam ini (Dewan Rakyat).

“Saya minta maaf Jelutong (RSN Rayer – PH DAP), kita kawan. Jika kita mahu menjadi seorang yang mulia dan dihormati masyarakat di dalam dan luar Dewan ini, jangan keluarkan kata-kata seperti itu lagi.

“Sampai masanya nanti, kita tidak tahu mungkin Pakatan Harapan akan tumbang dan diganti oleh kerajaan lain… itu boleh berlaku,” katanya membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat.

Ismail turut membidas kecenderungan sesetengah pihak menjatuhkan hukuman sendiri terhadap mereka yang dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, sikap itu tidak sepatutnya diteruskan kerana ada kemungkinan mereka terbabit didapati tidak bersalah.

“Jelutong, kita mesti bekerja sama dalam membangunkan negara demi kepentingan rakyat,” katanya.

Rayer yang berada dalam Dewan sepanjang perbahasan itu, hanya mendengar dan tidak mencelah.

Sebelum ini, peguam itu dikenali kerana kerap mencelah perbahasan Ahli Parlimen pembangkang, selain sering mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, denga 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *