Mungkin Lebih Ramai Tertimbus – Bomba

Bomba tidak tolak kemungkinan lebih ramai mangsa tertimbus di bawah runtuhan, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar.

Beliau berkata, ini kerana mangsa keenam yang ditemui hari ini iaitu lelaki Bangladesh berusia 25 tahun, Mustak Hossain, tiada dalam senarai rasmi yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Ini ada kemungkinan yang agak besar,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Beliau sebelum itu mengesahkan operasi SAR hari ini menemukan dua lagi mayat, iaitu Mithu Hossain, 30 tahun dan Mustak Hossain, 25 tahun, kedua-dua warga Bangladesh.

Saadon berkata, kedua-dua mayat itu ditemui pada pukul 12.13 dan 12.18 tengahari dalam keadaan bertindan antara satu sama lain, dan dibawa keluar pada pukul 12.40 dan 12.50 tengahari.

Beliau menafikan kedua-dua mayat itu adik-beradik, namun mengesahkan mereka berasal dari kampung yang sama.

Mengulas lanjut mengenai operasi hari ini, Saadon berkata tumpuan mencari terus diberikan kepada empat lagi yang tersenarai sebagai mangsa yang hilang.

Jelasnya lagi, operasi hari ini hanya akan dihentikan seandainya cuaca tidak mengizinkan serta sumber pencahayaan menghalang.

Setakat ini, enam mangsa disahkan meninggal dunia akibat tragedi itu.- Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *