Mangsa Kelima Ditemui, Operasi SAR Disambung Esok

 

Jumlah mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus dalam insiden tanah runtuh di Bukit Kukus, kini meningkat dari tiga kepada lima mangsa, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar, malam ini.

Beliau berkata, anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mendapat maklumat daripada seorang lelaki warga negara Bangladesh bahawa dua rakannya, yang juga pekerja di situ, gagal dihubungi sejak tragedi itu berlaku pada pukul 1.15 petang semalam.

Selain itu, beliau berkata, operasi terpaksa dihentikan pada pukul 7 malam tadi atas nasihat pegawai Jabatan Mineral dan Geologi mengenai pergerakan tanah di sektor pencarian, sehingga boleh membahayakan anggota SAR.

“Jadi tumpuan SAR 8 pagi esok, adalah kepada lima orang mangsa kerana pada jam 5 petang tadi kita dapat maklumat ada dua lagi yang tak dapat dihubungi. Jadi kita anggap mereka juga berkemungkinan berada di bawah kawasan runtuhan tanah,” katanya kepada pemberita.

Buat masa kini, Saadon berkata, tiga mangsa awal berkemungkinan ada di bawah kontena yang tertimbus.

Lima yang dikhuatiri hilang, ialah seorang lelaki warga negara Indonesia, dikenaki sebagai Subaeri, dan baki empat lagi adalah lelaki warga negara Bangladesh, dikenali sebagai Mithu, Mohamad Abdul Jalil, Ujai, dan  Rahat. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *