Seorang Lagi Mangsa Tertimbus Dijumpai

Seorang lagi mangsa kejadian tanah runtuh di kawasan pembinaan Bukit Kukus, berjaya dijumpai dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) awal pagi Sabtu.

Timbalan Komander SAR, Mohd Tarmizi Md Jaafar berkata, mayat wanita berbangsa Myanmar berusia sekitar 33 tahun itu, ditemui sekitar jam 1.30 pagi tadi.

Beliau berkata kekuatan operasi kini adalah seramai 125 orang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, serta PBT, dan dibantu empat ekor anjing dari Unit K9.

Walaupun operasi terhenti seketika pada pukul 5 pagi tadi kerana jentera Bomba kehabisan minyak tetapi ia diteruskan semula selepas masalah itu diselesaikan.

Sehingga kini SAR berjaya menemukan tiga mayat, manakala tiga lagi berjaya diselamatkan semalam dan mengalami kecederaan.

Jumlah sebenar mangsa tragedi itu masih belum dapat dipastikan, namun berdasarkan maklumat awal, seramai 13 mangsa terlibat dalam tragedi itu. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *