Ahmad Zahid Mengaku Tidak Bersalah

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadapi 10 tuduhan pecah amanah, 27 tuduhan pengubahan wang haram dan lapan tuduhan rasuah.

Zahid mengaku tidak bersalah atas 10 tuduhan pecah amanah wang milik Yayasan Akalbudi dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah atas 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta.

Beliau tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini tepat jam 8.15 pagi  bagi menghadapi beberapa pertuduhan.

Mahkamah Sesyen KL membenarkan Presiden Umno itu diikat jamin RM2 juta bagi kesemua 45 pertuduhan itu.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas timbalan perdana menteri itu akan menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau ditahan semalam berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya.

Turut hadir pada pagi ini bagi memberi sokongan kepada beliau termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Aeri Najib Razak,  Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tidak ketinggalan, penyokong UMNO yang berkumpul di perkarangan luar kompleks mahkamah sejak awal pagi sambil membawa sepanduk.

Mereka diketuai Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan, UMNO Malaysia Datuk Lokman Noor Adam bersama beberapa NGO

Pasukan keselamatan turut kelihatan bersiap sedia berkawal bagi menghadapi sebarang kemungkinan selepas berlaku sedikit kekecohan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *