Cara Zalim 1998, Kini Diulangi 2018

Tun Dr. Mahathir Mohamad kini nampaknya masih berusaha keras supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dianggap sebagai jahat oleh kalangan masyarakat.

Usaha fitnah tersebut diteruskan Perdana Menteri apabila cuba mengaitkan pemimpin Melayu Islam itu kononnya sengaja mempergunakan wang 1MDB, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib.

Ujarnya dipetik portal UMNO-Online, Mahathir sekian lama sejak 1998 sudah berjaya beri label jahat kepada ramai tokoh termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sebagai peliwat dan tidak layak menjadi pemimpin negara.

“Rentetan itu, ramai pemimpin Melayu Islam menerima akibat untuk dipenjara bawah Akta Dalam Negeri (ISA), manakala kalangan korporat bukan kroni Mahathir pula menanggung banyak kerugian dan tutup perniagaan.

“Ahmad Zahid yang sebelum ini dilihat sebagai bersih dan kuat berpegang dengan ajaran agama, menyatukan alim ulama, menyuburkan aktiviti agama dan membela anak-anak tahfiz, kini cuba dicalarkan imej dirinya itu.

“Penghinaan imej ini semata-mata bertujuan beri gambaran buruk terhadap UMNO yang selama ini jadi sandaran orang Islam gigih pelihara kesejahteraan serta nasib rakyat pelbagai kaum dan agama,” kata Mohd. Khusairi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa tindakan zalim Pengerusi Pakatan Harapan ini tidak lain hasil daripada kekecewaan peribadi dirinya sendiri.

Mahathir sebelum ini gagal pujuk Ahmad Zahid supaya bubar UMNO kerana jadi ancaman utama politik keluarga Mahathir, kroni serta PPBM yang sedikit bilangan kerusinya berbanding UMNO dan parti komponen PH lain.

“Kita percaya tindakan Mahathir tersebut adalah bertujuan melenyapkan UMNO dan mendorong orang Melayu Islam terpaksa pula berpaut kepada PPBM sebagai satu-satunya parti Melayu terkuat dalam negara ini.”

Sehubungan itu, beliau seru ahli UMNO, orang Melayu, umat Islam dan seluruh rakyat bangkit pertahan Ahmad Zahid yang kini dizalimi kerajaan Malaysia Baharu melalui pendakwaan bermotif politik kejam tidak masuk akal.

Dilaporkan Ahmad Zahid dipanggil hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya untuk diambil keterangan – buat kali keenam petang ini, sebelum ditahan agensi itu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *