Pengedar Dadah Ditahan Kali Ke 15

Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan buat kali ke-15 dalam serbuan di tepi jalan persimpangan Taman D’Pinggiran Kota Lukut, Port Dickson dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata ketika serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pukul 9.30 pagi itu, suspek yang duduk di atas motosikal telah bertindak mencampakkan barangan disyaki dadah ke atas rumput berhampiran jalan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis telah menemui 10 paket plastik lutsinar berisi bahan ketulan kelabu disyaki dadah berbahaya jenis heroin.

“Suspek yang berusia 50an itu merupakan pengedar tegar ekoran telah ditahan sebanyak 15 kali oleh pihak polis dan kini suspek direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 25 tahun yang terlibat dalam kes samun warga Pakistan di jalan Rumah Rakyat Kampung Sawah Bukit Pelandok dekat sini telah ditahan dalam satu operasi khas, semalam.

Aidi Sham berkata ketika serbuan ke atas suspek didapati barangan yang disamun telah ditemui bersama suspek.

“Dalam kejadian samun itu, mangsa seorang warga Pakistan ketika menaiki sebuah motosikal melalui kawasan berkenaan telah diarahkan berhenti oleh suspek yang mengacukan sebilah parang ke arah mangsa sebelum melarikan diri dengan duit dan barang milik mangsa.

“Wang tunai berjumlah RM50 dan dua buah telefon bimbit mangsa telah diambil suspek dengan anggaran kerugian sebanyak RM500, bagaimanapun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *