Love Scam: Janji Nak Kahwin, Suruh Pinjam Ah Long

Janji mahu kahwin, tapi suruh pinjam along. Situasi itu berlaku kepada seorang wanita berputih mata apabila kerugian hampir RM200,000 apabila ‘kekasihnya’ itu menghilangkan diri sebaik menerima wang berkenaan.

Lebih parah, wang terbabit dipinjam daripada along semata-mata kerana percaya tipu helah lelaki hidung belang itu kononnya untuk membuka perniagaan demi masa depan bersama.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Camelia, 31 berkata, dia mengenali individu yang mengakui berasal dari Amerika Syarikat itu kira-kira sebulan lalu menerusi laman Facebook dan tidak mengesyaki apa-apa pada awalnya.

Katanya, selepas dua minggu, dia menghabiskan masa lebih sepuluh jam sehari untuk melayari Facebook dan bersembang dengan lelaki berkenaan termasuk bertukar-tukar gambar dan mula bercakap mengenai masa depan.

“Ketika itu, saya seperti dilamun cinta kerana percaya dia menyayangi saya seadanya dan ingin berkahwin dengan wanita Malaysia. Kebetulan, saya pula pernah gagal dalam perkahwinan sebelum ini dan masih belum mempunyai teman lelaki.

“Setiap hari, saya akan berbual dengannya dan semuanya berkisar mengenai masa depan kami selepas berkahwin. Dia memperkenalkan diri sebagai ahli perniagaan manakala saya pula hanya seorang pengurus jualan di sebuah syarikat,” katanya ketika membuat aduan kepada Pengarah Unit Banteras Ceti Haram PPIM Azman Kang.

Azman Kang mendengar aduan daripada Camelia di pejabatnya

Camellia berkata, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Michael itu juga turut mengakui ingin tinggal di Malaysia kerana pernah ke negara ini beberapa tahun lalu, namun menghadapi masalah untuk berhijrah ke sini dan meninggalkan pekerjaannya.

“Selepas seminggu duit dimasukkan, saya mula perasan dia tidak lagi aktif malah semua mesej saya tidak dijawab. Akhirnya, akaun Facebook yang digunakan sebelum ini juga tidak lagi aktif. Saya jadi seperti orang gila kerana tidak semena-mena perlu menanggung pinjaman along.

“Saya hanya mampu membayar secara ansuran selama tiga minggu sebelum mengalami masalah kewangan. Setiap hari saya terima ugutan dari along, tetapi saya tidak mampu buat apa-apa kerana tidak berkemampuan. Sehinggalah seorang rakan mencadangkan saya membuat laporan kepada PPIM untuk meminta bantuan,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, sejak Mei lalu, pihaknya merekodkan 20 aduan seumpamanya membabitkan wanita negara ini yang menjadi mangsa penipuan Love Scam sehingga terjebak meminjam along dengan juml;ah keseluruhan RM1.5 juta.

Katanya, kebanyakan mangsa malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana bimbang ia diketahui ahli keluarga dan rakan-rakan di tempat kerja.

“Tetapi akhirnya terbongkar juga kerana mereka diburu along hingga ke pejabat. Waktu itu, semua orang akan tahu apa yang berlaku. Kita menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, namun akan membantu menjadualkan semula pinjaman dengan along. Bagaimanapun, ia mungkin mengambil masa yang lama kerana ada di antara mereka tidak menyimpan dokumen transaksi dan sebagainya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *