Himpunan Pemandu Teksi : Pemantau Malaysia Baru Batal Hasrat Turut Serta – Lokman

Pemantau Malaysia Baru membatalkan pembabitan di dalam Himpunan Pemandu Teksi yang dijadual berlangsung di Kementerian Kewangan, Putrajaya pagi ini.

Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan UMNO Malaysia Datuk Lokman Noor Adam berkata, biarpun dijemput secara rasmi oleh Datuk Shamsubaharin Ismail, namun keputusan itu dibuat bagi menghormati segelintir pemandu teksi yang tidak mahu pihaknya turut serta.

Lokman Noor Adam

“Persetujuan kami untuk menerima undangan ini bukanlah bermakna kami setuju dengan janji Pakatan Harapan yang mahu mengharamkan Uber dan Grab. Suka saya tegaskan disini bahawa kami hadir adalah untuk membela nasib rakyat dari kelompok pemandu teksi yang telah ditipu oleh Pakatan Harapan dengan janji tidak munasabah untuk menghapuskan perkhidmatan e-hailing yang tidak dapat ditolak mengikut keperluan peredaran zaman,” katanya.

Lokman berkata, akibat daripada penipuan Pakatan Harapan sebelum PRU14, sebahagian besar pemandu teksi telah melupakan apa yang diberikan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada mereka seperti insentif tayar baru, insentif kad petrol RM800, insentif RM5000 kepada pemandu teksi yang bersetuju untuk menukar teksi mereka kepada perkhidmatan e-hailing Uber, penerimaan BR1M secara automatik kepada pemandu teksi dan pelbagai kemudahan lain.

“Sungguhpun penyertaan kami tidak dipersetujui oleh satu dua orang pemandu teksi yang langsung tidak mewakili pendapat 300,000 pemandu teksi di Malaysia, saya tetap bersolidariti dan akan meneruskan usaha memperjuangkan nasib pemandu teksi yang telah ditipu oleh Pakatan Harapan dengan janji manis mereka untuk menghapuskan Uber dan Grab serta mewajibkan pemandu Uber dan Grab melalui SOP yang sama untuk menjadi pemandu teksi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *