POLIS tangkap ‘Polis”

Tindakan dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan memeras ugut sebuah keluarga di Taman Sri Kluang, Kluang, membawa padah apabila kedua ditahan polis kira-kira jam 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang kelmarin, mangsa yang tinggal bersama ibunya didatangi oleh suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Kuala Lumpur.

Katanya, suspek menunjukkan kad lambang polis apabila diminta mangsa yang mahu pengesahan sebelum bertanya mengenai abang mangsa dengan menunjukkan gambar sebagai helah.

“Suspek memaklumkan abang mangsa berhutang sebanyak RM450,000 dan meminta mangsa menyelesaikannya namun gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan apabila diminta berbuat demikian,” katanya.

Mohd Abduh berkata, suspek kemudiannya bertegas mahu masuk ke dalam rumah mangsa tetapi dialang mangsa sebelum kedua-dua suspek beredar menaiki sebuah kereta yang mempunyai logo polis.

Katanya, mangsa kemudian membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sebelum sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang membuat serbuah di sebuah hotel di Jalan Lambak, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi.

“Dalam serbuan itu. polis menahan dua lelaki berusia 30 dan 45 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut mendapat seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah dan dikehendaki polis bersabit kes yang dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Seri Alam, Johor Bahru.

“Ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati kedua-dua suspek negatif dadah selain turut merampas sebuah buku poket dan dua pemegang kad tertera lambang polis serta satu kad Kor Sukarekawan Polis Siswa (SUKSIS),” katanya.

Mohd Abduh berkata, polis turut merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah cota besi, satu beg sandang serta sebuah kereta jenis Mercedes Benz dengan jumlah rampasan dianggarkan RM60,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Suspek ditahan reman empat hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan berkaitan kes pemerasan jenayah yang dilaporkan di daerah ini dan kawasan lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *