JANDA terlibat pelacuran di hukum

Seorang janda dijatuhi hukuman empat sebatan Syariah dan diarah menjalani pemulihan akhlak selama enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu hari ini.

Keputusan itu  dibuat selepas tertuduh yang berusia 45 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan  mengikut  Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Hakim Kamaruazmi Ismail memerintahkan tertuduh menjalani pemulihan selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Selangor, bermula hari ini.

Pelaksaan hukuman sebatan akan dilaksanakan di Penjara Wanita Kajang selepas tempoh 14 hari sekiranya tiada rayuan daripada tertuduh.

Hakim syarie ketika membacakan penghakiman turut menyatakan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan berat berdasarkan hukum syarak di samping mencemarkan kemuliaan Negeri Terengganu Darul Iman.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Kuala Terengganu bersama seorang pelanggan sekitar jam 11 malam pada 19 Sept lalu.

Hasil siasatan, dia mengaku menerima upah khidmat seks diberikan dengan mengenakan bayaran antara RM200 hingga RM1,000 untuk satu malam daripada pelanggan sebelum lapan barang kes dirampas dan disita termasuk beberapa botol minyak dan jel pelincir serta kondom yang masih tidak digunakan.

Pendakwaan dikendalikan, pendakwa syarie Terengganu, Mohd Kahzmizan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguambela, Fazru Anuar Yusof.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *