ADA LAGI kena tipu dengan MAcau SCAM

Seorang pegawai pentadbiran sebuah syarikat mengalami kerugian hampir RM40,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam melalui panggilan telefon, kononnya mangsa terbabit dalam jenayah penggubahan wang haram.

Ketika kejadian, mangsa seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an berada di tempat kerjanya di Jalan SS18, Petaling Jaya, semalam, sebelum dihubungi seorang lelaki mendakwa sebuah syarikat yang menggunakan nama mangsa mempunyai tunggakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM85,700.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azlin Sadari berkata, mangsa yang panik menyerahkan kata laluan dan kata nama perbankan atas talian bagi tiga bank berbeza miliknya sebelum mendapati baki dalam akaun terbabit lesap.

“Mangsa menerima panggilan telefon dari nombor tidak dikenali sebelum seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Mahkamah Kuala Lumpur memberitahu bahawa sebuah syarikat menggunakan nama mangsa mempunyai tunggakan bayaran GST sebanyak RM85,700.

“Pengadu bagaimanapun menafikan mempunyai syarikat dan tidak mempunyai sebarang tunggakan bayaran GST. Kemudian, panggilan disambung ke talian lain dan mangsa bercakap dengan seorang lelaki lain memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat polis dari Bukit Aman,” katanya.

Beliau berkata, mangsa diberitahu hasil semakan nama dan kad pengenalan mendapati namanya terbabit dengan kes pengubahan wang haram dengan transaksi wang berjumlah RM1.2 juta.

“Pengadu diminta memberikan username dan password perbankan atas talian bagi semua akaun bank miliknya untuk mengelakkan akaun dibeku ketika siasatan dijalankan.

“Mangsa dalam keadaan panik dan takut kemudian memberikan password dan username perbankan online untuk tiga akaun bank di tiga bank berbeza.

“Mangsa diminta menunggu beberapa minit kemudian untuk siasatan awal dijalankan, mangsa kemudian membuat semakan akaun dan mendapati wangnya dipindahkan ke pihak ketiga melalui transaski atas talian,” katanya.

Mohd Azlin menegaskan, meskipun pihaknya sudah kerap kali memberi amaran melalui pelbagai medium selain mendedahkan modus operandi dan kes Macau Scam melalui media massa, namun terdapat mangsa yang masih tidak peka atau sedar dengan helah sindiket.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *