KOTAKAN janji kepada rakyat-ASYRAF WAJDI

Kerajaan hari ini didesak terus mengotakan janji pentadbiran baik dan merangka dasar yang boleh memberi manfaat kepada rakyat, bukannya terus menyalahkan kerajaan terdahulu pimpinan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata barisan kepemimpinan kerajaan hari ini dilihat tidak berubah ke arah membangunkan negara tetapi masih leka dengan pendekatan menyelongkar segala kelemahan kerajaan lalu.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, rakyat sehingga kini masih menunggu apakah program, dasar atau polisi baharu yang boleh menyelesaikan isu yang dijanjikan selepas lima bulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara.

“Saya rasa sudah tiba masanya, kerajaan hari ini, menukar strategi mereka. Daripada mereka meneruskan pendekatan mencari salah dan menyelongkar segala kelemahan kerajaan lalu… selesaikan pelbagai isu yang mereka salahkan kerajaan BN ketika menjadi pembangkang.

“Paling penting sekali kita nak melihat rakyat tidak sekali-kali teraniaya. Apa juga dasar dan polisi (yang diputuskan kerajaan), tidak sehingga menambah beban rakyat,” katanya.

Asyraf Wajdi mengulas cadangan kerajaan untuk memperkenalkan cukai baharu bagi menjana hasil negara dalam usaha membayar hutang negara yang tinggi.

Pagi tadi, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan juga mempertimbangkan untuk melepaskan aset negara seperti tanah bagi mengurangkan beban untuk membayar hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi mendakwa kerajaan BN tidak pernah gagal menguruskan kewangan negara sebaliknya, terus mendapat pengiktirafan antarabangsa, IMF.

Katanya, hutang negara tidak pernah melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang yang diuar-uarkan kerajaan baharu.

Beliau berkata, hemah dan kebijaksanaan kerajaan BN menguruskan kewangan negara membolehkan kerajaan memberi pulangan balik kepada rakyat dalam konteks perkhidmatan termasuk Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) .

“Kalau mahu cari salah, memang akan jumpa kerana mana ada kerajaan yang sempurna. Begitu juga kerajaan lalu ada kelemahan tetapi jangan nafikan kekuatan mereka.

“Hari ini, mereka sudah jadi kerajaan, mereka masih menyalahkan lagi (BN). Sampai bila kita nak moveforward dan move on,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *