BAYI baru lahir ditemui di RNR Lanchang

Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan bogel di dalam tandas wanita di Hentian Lanchang di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur, Temerloh.

Bayi itu ditemui kira-kira jam 5 pagi yang disedari seorang wanita yang menemuinya di atas para dalam bilik tandas bernombor 11.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmod, berkata wanita berkenaan memaklumkan dia ada mendengar bunyi tangisan bayi sekitar jam 4.30 pagi namun tidak menghiraukannya.

“Bagaimanapun dia curiga apabila tangisan berkenaan tidak berhenti selama setengah jam sebelum membuat pemeriksaan di dalam tandas berkenaan dan menemui bayi lelaki dalam keadaan bogel dengan najis berwarna kehitaman yang sudah kering.

“Saksi kemudiannya mengambil kain pelekat dan telekung yang diambil dari surau untuk membalut bayi berkenaan sebelum menghubungi polis,” katanya.

Zundin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tiada sebarang kesan darah ditemui pada badan bayi berkenaan dan pihaknya percaya bayi itu dilahirkan di tempat lain sebelum ditinggalkan dalam tandas terbabit.

“Pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan mendapati bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk rawatan lanjut.

“Kami masih lagi menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan bagi mengesan suspek memandangkan kawasan hentian berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *