SUKMA PERAK: Penginapan Uzur Jadi Bualan

IPOH – Isu penginapan yang uzur di perkampungan sukan, Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 terus diperkatakan dalam kalangan kontinjen negeri yang bertanding.

Malah, dengan keadaan tilam yang usang, lokar yang pecah, bilik air yang tidak boleh digunakan ditambah menjadi tempat pembiakan nyamuk jelas menyebabkan ketidakselesaan atlet sepanjang temasya kali ini.

Jadi, tidak hairan ada dalam kalangan kontinjen yang bertanding memilih menjadikan hotel bajet atau homestay untuk menginap.

“Sekarang ini hanya (atlet badminton) Kelantan, Perlis, Pahang dan Sarawak yang menginap di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh sementara pasukan lain dengan bantuan Majlis Sukan Negeri masing-masing dan Exco negeri, keluar dari ILP dan menginap di hotel bajet atau homestay.

“Kita bimbang terhadap keadaan atlet badminton Kelantan yang terpaksa menginap di situ dalam keadaan yang tidak kondusif bagi atlet berprestasi tinggi,” kata Presiden Persatuan Badminton Kelantan, Dr Naharuddin Hashim kepada NSTP di sini hari ini.

Edisi ke-19 temasya kali ini menyaksikan tuan rumah menganjurkan pertandingan di kesemua 12 daerah dan mengasingkan kontinjen mengikut venue pertandingan masing-masing.

“Kita juga bimbang dengan persediaan penempatan yang sebegini kerana tidak lama lagi Perak juga akan menganjurkan Sukan Paralimpiad di tempat yang sama di mana logistik atlet istimewa ini memerlukan perhatian yang lebih serius,” katanya.

Beliau berkata, tempat penginapan di ILP itu adalah lokasi alternatif yang diberikan selepas beberapa kali lokasi awal ditukar disebabkan keadaan penginapan yang lebih teruk hingga menyebabkan kebanyakan kontinjen lain keluar mencari tempat yang lebih sesuai. – BH 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *