BICARA ILMU: Keamanan Global Melalui Iman Islam Ihsan

Penulis adalah:

Abd Rahman Tajudin @ Emang Galileo
Felo CONCAVE-ISSI Islamic & Strategic Studies Institute

Islam adalah agama keamanan dan kedamaian. Malah konotasi tekstual Islam itu sendiri bermakna keselamatan dan kesejahteraan. Ia adalah penyerahan secara total kepada Ilahi yang menciptakan segala-galanya.

Untuk melestarikan keamanan global, kita tidak dapat lari daripada perlaksanaan syariat Islam. Hal ini kerana syariat itu adalah suatu kehidupan. Syara’a dalam makna lughawi adalah sumber air. Air terdiri daripada hidrogen dan oksigen yang sememangnya diperlukan oleh makhluk yang hidup. Lantas melalui syariat ini, kehidupan dapat dilestarikan dan dikekalkan dengan penuh kedamaian.

Dalam Maratib Al-Islam, ada beberapa aspek yang perlu diambil berat dan ditegakkan selaras dengan Maqasid Syariah. Ia mengandungi tiga sendi utama iaitu Iman-Islam-Ihsan untuk pembentukan tamadun. Pengguguran salah satu daripadanya pasti akan menyebabkan keganasan ataupun tindakan terrorisme pada tamadun ummah.

Pengguguran Ihsan melalui ilmu tasawuf atau tariqat sufi, pasti akan melahirkan kebiadaban moral yang menyebabkan insan melakukan tindakan keganasan tanpa ada rasa diperhatikan dan rasa muraqabah dengan Allah.

Salah satu penyebab kepada ketidakstabilan adalah fikrah Wahabi. Fahaman Wahabisme adalah satu produk kebiadaban kerana menolak unsur tariqat Sufisme yang menjaga etika kemanusiaan secara teratur.

Wahabisme lari daripada tafsiran ulama’ yang menyebabkan nas-nas naqli tidak dapat difahami dan dihadam dengan sebaiknya. Lantas tindakan salafi-jihadi terhadap sesama Islam mahupun insan berlaku tanpa tapisan ilmiah kerana ideologi takfirul ummah. Hal ini menyebabkan tindakan Radikalisme yang berbahaya kepada masyarakat dunia.

Demikian juga dengan fahaman Syiah Rafhidhah yang menolak salah satu rukun Imam Qadak dan Qadar yang mengkafirkan para Sahabat Rasulullah s.a.w. Lantas berlaku konflik sehingga terjadinya tindakan ekstremisme yang menggusarkan sesuatu landskap tamadun ummah.

Pengguguran syariat Islam pula yang kini dibawa oleh fahaman Liberalisme-Secularisme-Pluralisme telah menyebabkan perbalahan dan pergaduhan insan di mana sahaja ia berada. Gerakan ini mengakibatkan ketidakstabilan suasana yang aman dalam negara kerana membawa agenda Dajjal yang mahu manusia lari daripada konsep Taslim penyerahan diri secara total kepada Allah semata-mata.

Penolakan kepada salah satu rukun dalam Iman-Islam-Ihsan dalam sesuatu pembentukan tamadun itu, pasti akan menyebabkan ketidakstabilan politik, tindakan radikalisme agama, perbuatan ekstremisme sosial dan keadaan chaos ekonomi yang bakal memusnahkan tamadun ummah.

Maka dengan menyedari hakikat ini, akidah wajib dimantapkan, syariat perlu diperkasakan, tasawwuf mesti diperkukuhkan dalam masyarakat untuk mencapai keamanan global. Keamanan global dan kesejahteraan masyarakat dunia pasti dicapai melalui pembelajaran ilmu-ilmu turath Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjaga agama Islam yang secara hakikatnya punca keamanan dunia dan kestabilan insan.

Allah S.W.T berfirman dalam Kitabullah :

فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَٰذَا الْبَيْت .. الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ.. وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ..

“Maka hendaklah mereka menyembah Rabb pemilik rumah ini (Ka’bah) yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan”. [Quraisy/106 : 3-4]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *