EMPAT maut selepas Perodua Viva dinaiki mereka bertembung dengan treler dalam kemalangan di Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh, Padang Tengku, dekat Kuala Lipis, hari ini, LAPOR HARIAN METRO

Kejadian dipercayai berlaku 9.40 pagi dan kesemua mangsa iaitu tiga wanita dan seorang lelaki meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, seorang daripada mangsa yang maut dikenali Nur Asmida Mohamed, 24, yang beralamat dari Kampung Keluat Beris Kubur, Bachok, Kelantan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.53 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan.

“Dua lelaki dewasa menaiki treler, tidak mengalami kecederaan manakala empat mangsa iaitu tiga wanita dewasa serta seorang lelaki dewasa dalam Perodua Viva disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Anggota kami melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, pegawai penyiasat sudah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Identiti mangsa belum dikenal pasti dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *