DIANCAM bunuh hanya kerana sepak penalti tak masuk

Pemain Colombia yang gagal menyempurnakan sepakan penalti menentang England menerima ancaman bunuh daripada penyokong sendiri dengan mesej itu ditujukan kepada Mateus Uribe dan Carlos Bacca selepas mereka tersingkir daripada kempen Piala Dunia.

Ugutan bunuh itu kebanyakannya ditujukan kepada Bacca dengan meminta pemain berkenaan membunuh diri dan tidak kembali ke tanah air semula.

Sebelum ini polis sudah melakukan siasatan berhubung ancaman bunuh ke atas pemain Colombia Carlos Sanchez selepas dia dibuang padang, tiga minit permainan bermula pada aksi pembukaan Piala Dunia menentang Jepun.

Ramai penyokong berang dengan kekalahan itu merujuk kepada ulang tahun ke-24 kematian Andres Escobar semalam yang dibunuh selepas menjaringkan gol sendiri dan dikatakan menjadi punca Colombia tersingkir pada Piala Dunia 1994.

David Castaneda menggunakan Twitter menyampaikan mesej amaran:“Mati lah Carlos Bacca. Tidak ada siapa perlukan kamu. Jangan kembali semula ke sini.”

Seorang lagi penyokong Jhon Duqueismo, menyatakan: “Terima kasih kepada semua pemain kecuali pemain tidak berguna, Carlos Bacca. Jangan kembali ke sini.”

HumorFPCosky menulis: “Carlos Bacca lebih baik anda bunuh diri jadi anda tidak perlu hidup dalam derita.”

Colombia ditunjukkan jalan pulang oleh England apabila tewas menerusi sepakan penalti 3-4 apabila perlawanan terikat 1-1 selepas masa tambahan di peringkat 16 pasukan terakhir.

Bagimanapun ada penyokong Colombia yang melahirkan rasa terkejut dengan mesej ganas itu.

Brayan Sanchez berkata: “Jangan mengharapkan Bacca dan Uribe mati. Adakah kita mahu apa yang berlaku ke atas Andres Escobar berlaku lagi? Ini kah Colombia? Sama ada kita menang dan kalah, kita adalah satu negara.”

Dan menurut MoreJuanSe: “Mereka mula menghina dan mengugut Uribe dan Bacca. Semalam adalah ulangtahun ke-24 kematian Andres Escobar, kita sepatutnya kena belajar bagaimana menerima kekalahan.”

Escobar, 27, ditembak mati 10 hari selepas dia melakukan kesilapan sehingga menyebabkan Colombia tersingkir daripada Piala Dunia di Amerika Syarikat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *