BOMOH Durjana..Rogol isteri orang

Seorang bomoh mengenakan syarat tidak masuk akal apabila meminta pesakit wanita yang juga isteri orang untuk tinggal di rumahnya selama enam bulan bagi menjalani proses rawatan.

Malah, bomoh warga asing berkenaan juga meminta suami kepada pesakitnya itu tidak datang menjenguk si isteri sepanjang tempoh rawatan atau penyakitnya akan bertambah parah.

Bomoh berkenaan mempunyai seorang isteri yang tinggal bersama namun tidak memiliki anak, bagaimanapun isterinya hanya membiarkan saja tindakan gila lelaki itu.

Bagaimanapun, tembelang bomoh berusia 50-an itu pecah apabila seorang wanita mengaku terpaksa melayani nafsu lelaki itu beberapa kali setiap minggu selepas enam bulan ‘dirawat’ lelaki berkenaan.

Bomoh berkenaan dikatakan menggunakan ilmu ‘penunduk’ demi memastikan setiap suami mengikut segala arahan termasuk membenarkan isteri masing-masing tinggal bersamanya selama enam bulan di rumahnya di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor, untuk mendapatkan rawatan alternatif.

Syarat pelik itu perlu dipersetujui apabila mahu mendapatkan rawatan daripada bomoh berkenaan dan setakat ini didapati terdapat beberapa wanita sudah menjadi mangsa dengan rata-ratanya adalah isteri orang.

Kes terbaru membabitkan mangsa berusia 28 tahun dipaksa tinggal bersama bomoh berkenaan seperti pasangan suami isteri sehingga mereka melakukan hubungan seks.

Menurut sumber polis, suami mangsa berusia 30 tahun membawa isterinya berjumpa dengan seorang lelaki yang mengaku bomoh pertengahan tahun lalu selepas mendakwa wanita itu kemungkinan terkena sihir.

“Sebaik tiba di rumah bomoh itu, dia melakukan ‘imbasan’ terhadap mangsa dan mendakwa mangsa kemungkinan sudah terkena buatan orang dan memerlukan tempoh rawatan lama.

“Bomoh berkenaan meletakkan syarat supaya mangsa perlu tinggal di rumahnya untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan bagi melengkapkan proses rawatan,” katanya,.

Menurut sumber itu, suspek juga memberi amaran kepada suami mangsa supaya tidak datang untuk menjenguk isterinya sepanjang tempoh rawatan kononnya akan menyebabkan penyakit wanita itu bertambah teruk.

“Selepas tamat tempoh enam bulan itu, suami mangsa menjemput isterinya untuk pulang namun kelakuan wanita itu berubah iaitu lebih banyak termenung dan berdiam diri.

“Isterinya juga tidak mengingati apa yang terjadi sepanjang tempoh rawatan itu cuma mengetahui dia perlu melayan nafsu seks bomoh berkenaan beberapa kali dalam tempoh seminggu,” katanya.

Perkara itu menyebabkan suami mangsa menghubungi bomoh berkenaan untuk mengetahui perkara lebih lanjut dan perbuatan yang dilakukan terhadap isterinya.

“Suami juga mendakwa bomoh berkenaan sering menghantar SMS berbaur lucah kepada isterinya.

“Kemuncaknya, suspek turut mengugut suami mangsa supaya tidak menceritakan atau melaporkan kejadian kepada polis jika tidak mahu terkena santau,” katanya.

Suami mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu 14, Hulu Langat, pada 9 Januari lalu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff ketika menghubungi mengesahkan menerima laporan daripada suami mangsa dan siasatan lanjut akan dijalankan.

“Setakat ini, suami mangsa membuat laporan polis untuk rujukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) namun kita akan menjalankan siasatan terperinci seterusnya menahan suspek sekiranya ternyata benar dia ada melakukan jenayah rogol,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *