Pedang Parameswara Alat Kebesaran Kesultanan Perak

Pedang Parameswara Alat Kebesaran Sultan Perak Sehingga Kini

 

Jika sesiapa memahami, menghayati dan mengkaji buku sejarah Melayu Sulalatus Salatin, pasti akan mengetahui usul galur Pedang Cura Simanjakini yang kini menjadi salah satu alat kebesaran Negeri Perak.

Mungkin juga rakyat Malaysia atau anak Perak sendiri kurang mengetahui berkenaan simbol kedaulatan Kesultanan Melayu Perak ini yang juga kesinambungan pemerintahan hebat kerajaan Melayu Melaka.

 

 

MulutPuaka kali ini ingin mengungkap sedikit fakta dan sejarah berkaitan Pedang Cura Simanjakini yang lazimnya digunakan ketika hari-hari kebesaran Kesultanan Perak termasuk pertabalan.

Pedang ini disebut dalam buku sejarah Melayu atau Kitab Sulalatus Salatin yang juga warisan Kesultanan Melaka diwariskan dari Kerajaan Temasuk. Ada juga yang menyebut ia berasal dari Kerajaan Melayu Purba iaitu Empayar Srivijaya.

Nama Pedang ‘Cura Simanjakini’ sudah pasti menimbulkan 1001 pertanyaan bukan. Mengapa namanya begitu unik sekali dan apakah makna disebaliknya. Nama Cura Simanjakini berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu Churiga Si Mandakini yang bermakna pedang dari Mandakini.

Berdasarkan sumber lain pula, Sejarah Raja-Raja Negeri Perak, Sultan Perak berketurunan dari Sang Sapurba iaitu anak Raja Suran dan Puteri Mahtab al-Bahari, anak perempuan Aftab al-Ardzi yang juga keturunan agung Raja Islam iaitu Iskandar Zulkarnain (Raja Yang Menguasai Timur dan Barat).

 

 

Dalam konteks ini, Sang Sapurba juga diberi gelaran sebagai Sri Nila Pahlawan. Ketika Sri Nila Pahlawan ke Gunung Saguntang Mahameru di Palembang, Tuanku membawa pedang ini. Di sana, Sang Sapurba mengahwini Wan Sendari yang juga anak Demang Lebar Daun.

Mengimbas kembali Kitab Sulalatus Salatin, di sinilah perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun dibuat dimana orang-orang Melayu bersetuju untuk mengangkat Sang Sapurba sebagai Raja atau Tuan mereka.

Rujukan Sejarah Melayu juga mendedahkan bahawa Demang Lebar Daun adalah orang yang pertama menggunakan bahasa Yang di Pertuan dan Patik apabila bercakap dengan raja kerana Sang Sapurba adalah keturunan Raja-Raja Besar.

Selepas itu, maka bertitahkan Sang Sapurba antara lainnya, “Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang di Pertuan, hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku, dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosa pun, jangan difadhilatkan, dinista dengan kata-kata jahat. Jikalau besar dosanya, dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum syarak.”

Sang Si Purba pun bertitah, “Akan minta bapa itu hamba kabulkan, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hampa.”

Tanya Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu Tuanku.”

Sang Sapurba menjawab, “Hendaklah akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka kepada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun.”

Demang Lebar Daun menjawab, “Baiklah Tuanku, Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.”

Titah Sang Sapurba, “Baiklah kabullah hamba akan wa’adat itu.”

Maka mereka pun bersumpah serta berteguh janji, barang siapa yang mengubah atau melanggar perjanjian itu, maka dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah dan tiangnya ke atas.

Selepas termeterai perjanjian itu, Sang Sapurba meneruskan perjalanan ke Minangkabau dan dikatakan memerintahkan pahlawan yang bernama Pemasku Mambang untuk menggunakan Pedang Cura Simanjakini sebagai senjata untuk membunuh ular atau binatang yang bernama Saktimuna.

 

 

Ular atau binatang itu telah membuat huru hara dan membunuh ramai rakyat yang tidak berdosa. Permasku Mambang berjaya membunuh ular Saktimuna tersebut dengan dibelah kepada 3 bahagian dan Sang Sapurba diangkat menjadi raja Melayu yang pertama.

Parameswara menggunakan pedang Cura Simanjakini ini sewaktu pertabalan baginda sebagai Raja Melaka dan kemudian memakai gelaran Sultan pada 1405.

Kemudian mewariskan pedang ini kepada keturunan baginda. Pedang ini dibawa ke Kampar ketika pengunduran Sultan Mahmud Shah setelah Kota Melaka berjaya ditawan oleh Feringgi (Portugis). Pedang Cura Simanjakini dikurniakan kepada anakanda baginda iaitu Raja Muzaffar dan dibawa ke Perak apabila Sultan Muzaffar Shah menjadi Sultan Perak yang pertama pada 1528 dan sejak itu Pedang Cura Simanjakini menjadi alat kebesaran penting negeri Perak hingga kini.

Pedang Cura Simanjakini pernah dikatakan dibawa lari ke England apabila berlakunya perbalahan diantara Sultan Ismail dan Sultan Abdullah Muhammad Shah yang rentetan dari itu membawa kepada pembunuhan J.W.W Birch di Pasir Salak pada 1875.

Sultan Perak tidak boleh ditabalkan sebagai Sultan jika Pedang Cura Simanjakini tiada. Ketika upacara pertabalan berlansung, YM Raja Chik Muda Pawang Diraja akan menyembahkan Pedang Cura Simanjakini kebawah DYMM Paduka Seri Sultan.

Paduka Seri Sultan akan menghunus pedang tersebut dan mengucup hulu pedang. Pedang itu kemudian disarungkan kembali dan dibawa dibahu kanan, sama seperti cara ianya dibawa oleh Sang Sapurba apabila baginda membuat perjanjian dengan Demang Lebar Daun.

 

SUMBER RUJUKAN

  1. anakperak.com
  2. Kitab Sulalatus Salatin
  3. Buku Analisis Sejarah Melayu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *