PDRM: Dua Remaja Lelaki Dipaksa Mengemis Diselamatkan

 

DUA remaja lelaki yang digunakan sindiket meminta derma dengan menjual madu dan jeruk berjaya diselamatkan polis dalam Op Pintas di Bandar Perda, semalam.

Kedua-dua remaja berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan jam 1 tengah hari oleh sepasukan anggota polis bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, susulan daripada itu polis turut menahan dua lelaki berusia 23 dan 55 tahun yang dipercayai dalang sindiket terbabit.

Menurutnya, kedua-dua suspek dikesan menyediakan tempat tinggal dan juga kenderaan untuk mangsa mengutip derma.

“Sindiket dikesan menggunakan remaja dan kanak-kanak sebagai pengutip derma yang hasil kutipannya tidak diketahui disalurkan ke mana.

“Mereka juga turut menyediakan rumah transit yang kelihatan sangat daif sebagai tempat tingal sementara untuk mangsa,” katanya.

Menurutnya, sindiket juga turut dikesan kerap menukar nama syarikat bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket menjalankan operasi di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

“Mangsa hanya diberikan wang saku untuk makan manakala 30 peratus hasil jualan diberikan kepada keluarga mereka dan 70 peratus diambil sindiket,” katanya.

Menurutnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Tempat rehat mangsa yang disediakan sindiket

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *