Ittifaqiyah: Punca Kebakaran Didedah

KEBAKARAN di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah disebabkan api dinyalakan menggunakan petrol yang telah dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat 3.

Mulutpuaka dimaklumkan, kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk di tingkat 3 tersebut dengan pantas.

Api marak dengan cepat juga disebabkan oleh gas LPG yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder sehingga menyebabkan ia merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama tersebut. Dua tong gas berwarna hijau berbelang merah ditemui di kawasan kejadian.

Berikut Kenyataan Penuh KP JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim

LAPORAN KEBAKARAN PUSAT TAHFIZ DARUL QURAN ITTIFAQIYAH, JALAN KERAMAT HUJUNG, KAMPUNG DATO’ KERAMAT, KUALA LUMPUR.

Kenyataan akhbar ini adalah berkaitan dengan tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran lttfaqiyah yang berlaku pada Khamis, 14 September 2017 dan mengorbankan 23 orang serta menyebabkan kecederaan beberapa orang lagi pelajar. Kebakaran ini juga telah menyebabkan kemusnahan sebahagian bangunan pusat tahfiz tersebut, khususnya di aras 3 bangunan 3 tingkat berkenaan.

Kejadian ini adalah merupakan kebakaran besar yang kedua dalam sejarah kebakaran di pusat tahfiz. Sebelum ini pada tahun 1989, telah berlaku kebakaran Sekolah Agama Taufiqiah Khairiah Al-Halimah, Padang Lumat, Kedah yang mengorbankan seramai 27 orang pelajar.

2. Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGO KL) telah menerima panggilan daripada Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 pada jam 5.41 pagi. PGO KL kemudiannya telah menyalurkan maklumat tersebut ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat dan BBP Jalan Tun Razak pada jam 5.42 pagi. Jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Keramat dan BBP Jalan Tun Razak keluar ke lokasi kejadian pada jam 5.43 pagi.Jentera dari BBP Keramat tiba di tempat kejadian pada jam 5:47 pagi. Selepas BBP Jalan Tun Razak, BBP Wangsa Maju dan BBP Hang Tuah juga tiba menjadikan kekuatan semuanya seramai 43 anggota dan 17 orang pegawai. Kebakaran dapat di kawal pada jam 6.29 pagi.

3. Kebakaran tersebut menyebabkan 23 orang telah terkorban (iaitu 21 orang pelajar dan 2 orang Ustaz), manakala 23 orang dapat diselamatkan, 3 orang bercuti dan tidak berada di Pusat Tahfiz tersebut.

4. Pasukan Bomba dan Penyelamat yang sampai ke tempat kejadian telah membuat penyelamatan dan pemadaman dan berjaya membawa keluar 5 orang sekeluarga yang tinggal di bilik warden dengan menggunakan tangga jentera bomba dan melalui tangga belakang. Pihak Bomba juga membuat pemadaman awal dengan menggunakan 2 pancutan di bilik asrama dan bilik warden. Apabila pasukan bomba sampai di bilik asrama semasa pemadaman dan menyelamat, mereka tidak mendengar apa-apa suara pelajar. Sebaliknya setelah mereka berjaya masuk ke dalam bilik asrama, mereka telah menemui mangsa yang mati dalam kebakaran.

5. Kebakaran didapati bermula (origin of fire) di pintu masuk bilik asrama aras 3. Ini berdasarkan kepada keterangan saksi dan keterangan mangsa yang terselamat. lanya di sokong lagi dengan terdapatnya fire effect di hadapan pintu masuk bilik asrama seperti spalling pada dinding berdekatan pintu tersebut, mass loss pada pintu, siling, almari dan rak kasut. Clean burn pada dinding sekeliling pintu masuk bilik asrama menguatkan lagi bukti tempat bermulanya kebakaran di pintu tersebut.

6. Pasukan Penyiasatan Kebakaran JPBM telah menemui 2 bahan bukti seperti berikut:

(i) 2 buah silinder gas Liquid Petroleum Gas (LPG) berwarna hijau berbelang merah dijumpai di hadapan pintu masuk bilik asrama. Kedua-dua -dua silinder ini telah kosong dan injap silinder dalam keadaan terbuka, dan

(ii) Unit Pengesan (K9) telah mengesan 7 tempat dan 1 sampel telah diambil di hadapan pintu masuk bilik asrama. Dalam kes ini 4 ekor anjing telah digunakan (one after another) dan kesemuanya telah menunjukkan ke tempat yang sama. Sampel ini telah dianalisa oleh Pegawai Kimia di Makmal Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur dan didapati 4 sampel berkenaan mengandungi residu cecair mudah menyala jenis petrol.

7. Kebakaran di pusat tahfiz berkenaan dipercayai disebabkan api yang dinyalakan menggunakan petrol yang telah dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama ares 3. Kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk ares 3 tersebut. Api marak dengan cepat disebabkan oleh gas LPG yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder sehingga menyebabkan ianya merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama tersebut. Tambahan pula, fire load yang banyak di bilik asrama telah menyebabkan api cepat marak dan meningkatkan Iagi bahang api mengakibatkan mangsa yang sedang tidur terkorban dalam masa yang singkat. Berdasarkan penemuan-penemuan tersebut, punca kebakaran adalah perbuatan sengaja dibakar (Incendiary Fire). Sekian terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *