DAESH Cuba Susup Ke Rakhine

Selepas dilihat gagal menegakkan perjuangan di Asia Barat, kumpulan militan Daesh kini mensasarkan kawasan konflik Wilayah Rakhine, Myanmar sebagai ‘medan jihad baharu’ untuk mereka.

Itu bukan sekadar dakwaan atau teori lagi malah perkara berkenaan turut disahkan pihak polis selepas menahan seorang individu di Melaka minggu lalu yang berhasrat untuk pergi ke Rakhine dan berjihad di sana.

Anggota kumpulan Daesh juga menjadikan isu konflik membabitkan etnik Rohingya yang ditindas kerajaan Myanmar sebagai ‘umpan’ terbaik mereka untuk pengkaderan ahli baru.

Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorisme Cawangan Khas (E8) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan wujud cubaan daripada rakyat tempatan untuk berjihad di Rakhine.

“Penularan atau perkongsian gambar rakyat Rohingya yang ditindas di wilayah berkenaan secara meluas di media sosial turut membantu kumpulan berkenaan untuk menarik simpati dan penyertaan ahli baharu.

“Konflik di Rakhine masih baharu dan kita sedang mengumpul maklumat mengenainya. Bukan semuanya yang berlaku di sana kita tahu tetapi mungkin dalam masa sebulan atau dua bulan lagi ada usaha itu.

“Lagipun kita memang ada maklumat risikan berhubung kemungkinan rakyat Indonesia yang terlibat dalam aktiviti militan di negara mereka merancang untuk ke sana (Rakhine),” katanya.

Berdasarkan penilaian kedudukan geografi, sudah pasti Wilayah Rakhine terletak begitu hampir dengan Malaysia berbanding beberapa negara Timur Tengah.

Ancaman untuk menjadikan Rakhine sebagai medan jihad baharu sememangnya wujud selepas kawasan konflik di Selatan Filipina.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *