Air Asia: Makanan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun yang terbang bersama AirAsia Berhad kini boleh menikmati hidangan terbaharu dalam pesawat, iaitu Lil’ Star Combo.

Bagi meraikan pengenalan hidangan ini, kanak-kanak yang terbang pada 28 September akan menerima menu tersebut secara percuma, kata syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

“Penumpang yang terbang dengan anak-anak mereka pada tarikh yang lain juga boleh membuat tempahan awal bagi hidangan tersebut dengan hanya RM10 menerusi laman rasmi airasia.com,” katanya.

Hidangan kombo berkenaan terdiri daripada piza ayam mini dengan sos tomato dan kepingan ayam yang lazat serta keju mozarela dan cheddar berkrim.

Hidangan itu juga termasuk minuman dan snek istimewa yang bukan sahaja menyelerakan malah menceriakan pengalaman perjalanan kanak-kanak.

Selain itu, hidangan Lil’ Star Combo juga disediakan dalam variasi vegetarian bagi penerbangan AirAsia India, katanya.

Ketua Komersial Kumpulan AirAsia, Siegtraund Teh berkata, syarikat penerbangan itu teruja untuk memperkenal hidangan Lil’ Star Combo dalam menu Santan.

“Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, kami berusaha untuk memberikan pengalaman penerbangan terbaik kepada tetamu kami di semua peringkat umur.

“AirAsia menerbangkan 6,000 kanak-kanak sehari ke lebih 120 destinasi dan kami percaya hidangan Lil’ Star Combo akan memberikan pengalaman penerbangan yang lebih menyeronokkan bagi seisi keluarga,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *