“Saya Maafkan Mereka Semua”

PENGETUA Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah memaafkan semua suspek yang menyebabkan kematian 21 pelajar dan 2 guru.

Mohd. Zahid Mahmood bagaimanapun berkata dia tidak berhasrat untuk berjumpa dengan suspek mahupun keluarga mereka.

“Tak perlulah jumpa mereka. Bukan berdendam. Saya maafkan mereka semua, seperti saya sentiasa memaafkan pelajar saya.

“Kita manusia harus saling memaafkan. Saya tak nak fikir panjang benda yang sudah jadi.

“Apa yang penting sekarang adalah untuk pulihkan semuanya, semangat anak-anak pelajar ini dan bagaimana kita nak bergerak ke depan. Saya maafkan mereka,” katanya Mohd. Zahid.

 

pelajar tahfiz bersama tenaga pengajar

Menurutnya, dia reda dengan apa yang telah terjadi dan yakin semua itu telah ‘ditulis’ dan ketentuan Allah SWT.

“Mereka hanya penyebab berlakunya perkara ini kerana jika boleh diputarkan waktu, saya yakin mereka (suspek) juga tidak mahu perkara ini terjadi… saya sendiri juga tidak mahu perkara sebegini berlaku.

“Tetapi perkara ini sudah ‘tertulis’.. saya anggap ini adalah ujian Allah kepada saya serta ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, dia mengakui ujian yang sedang dihadapinya amat berat, namun percaya pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana setiap ujian yang diturunkan kepada hamba-Nya pasti mampu dihadapinya.

“Kejadian ini memberi kesan yang amat besar kepada saya sendiri. Ada ketika pada awal kejadian, saya sampai berasa seperti tidak mahu lagi menguruskan pusat tahfiz.

“Tetapi, inilah ujian Allah. Saya perlu kuatkan diri.

“Tumpuan saya sekarang adalah melihat ke depan…semangat semua, terutama anak-anak di sini perlu dipulihkan,”katanya sambil menambah pusat tahfiz itu tidak mengenakan sebarang yuran atau bayaran kepada pelajarnya.

kesan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *