RM150,000 Gaji Doktor Pakar di Luar Negara

SIAPA yang tidak tertarik ditawarkan gaji lumayan sehingga mencecah RM150,000 sebulan namun itulah punca utama ramai doktor pakar kerajaan meletak jawatan untuk berhijrah ke hospital swasta serta luar negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, gaji lumayan berkenaan dianggap jauh lebih menarik berbanding gaji pokok RM15,000 yang dibayar kerajaan kepada kumpulan doktor pakar tempatan pada ketika ini.

Sehubungan itu, beliau bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini supaya Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) mengkaji semula skim gaji doktor pakar dan petugas dalam sektor kesihatan.

“Bukan sahaja doktor pakar kita diminati, malah jururawat dari negara ini juga menerima tawaran gaji mencecah RM10,000 sebulan di luar negara.

“Dalam pembentangan Bajet 2016 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan tangga gaji bagi doktor pakar D54 ke D56 yang menyaksikan 2,100 doktor pakar menikmati tangga gaji baharu, namun masih ramai yang berhenti kerja,”katanya.

Dr. Hilmi berkata demikian kepada pemberita selepas mengi­ringi Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff melawat Hospital Kepala Batas, di sini semalam.

Sebelum ini, Ahmad Zahid meminta pihak JPA mengkaji semula tangga gaji tenaga pakar dalam sektor kesihatan bagi mengelakkan golongan profesional berkenaan berhijrah ke negara lain sehingga negara kekurangan doktor pakar.

Menyedari hakikat itu, Dr. Hilmi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan golongan doktor pakar tidak menamatkan perkhidmatan mereka dalam sektor kerajaan.

Antaranya kata beliau, dengan memperkenalkan program bayaran penuh oleh pesakit yang berkemampuan dan mereka bahkan boleh memilih doktor pakar sendiri untuk merawat mereka di hospital kerajaan tersebut.

“Bayaran berkenaan akan diserahkan terus kepada doktor pakar tersebut serta kakitangan yang membantu dan dengan cara itu pendapatan mereka dapat ditingkatkan,” kata Dr. Hilmi.

Dalam masa sama jelas beliau, kerajaan juga telah mewujudkan skim khas bagi membolehkan doktor sedia ada menyambung pengajian dalam bidang sarjana di universiti tempatan dan setakat ini seramai 500 doktor telah lulus pengajian.

“Namun kita dapati satu pertiga daripada mereka berhenti kerja,” katanya. Dr. Hilmi berkata, Kementerian Kesihatan juga bersetuju sekiranya JPA mengkaji tangga gaji pegawai perubatan Gred 41 yang menerima gaji pokok RM4,000 ketika ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *