Piala Liga Super Baru

KANCAH bola sepak Malaysia bakal mencetus fenomena baharu apabila Football Malaysia Liabiliti Partnership (FMLLP) memperkenalkan trofi Liga Super sejak 13 tahun lalu liga berprestij dipertandingkan.

Berkonsepkan futuristik dan elegan, trofi baharu yang direka khas oleh tukang emas mahir Diraja Johor itu dihasilkan menerusi gabungan tiga elemen utama iaitu tembaga, perak dan emas tulen 24k.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya mengambil masa hampir lapan bulan untuk menghasilkan piala baharu itu yang bernilai kira-kira RM200,000.

Menurutnya, kombinasi tiga elemen logam utama yang bernilai tinggi itu mempunyai maksud tersendiri selain mempunyai ciri-ciri reka bentuk eks­klusif.

“Piala baharu ini berdiameter 252 milimeter (mm) di bahagian tapak, berketinggian 633mm dan seberat 20 kilogram (kg) direka khas secara eksklusif sejajar dengan nilai permainan bola sepak tanah air.

“Menerusi piala ini menjadikan detik permulaan era baharu bola sepak di negara ini sejak diperkenalkan pada tahun 2004 dan kita sudah merancang sejak 2015 untuk ada trofi baharu selepas FMLLP mengambil alih menyelaras saingan liga,” katanya pada sidang akhbar memperkenalkan trofi baharu Liga Super Malaysia di Johor Bahru semalam.

Berkenan berangkat pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama Timbalan FAM, Datuk Mohd. Yusof Mahadi dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Dalam pada itu, Mohd. Yusof menambah, simbolik trofi melam­bangkan kekuatan dan dinamisme 12 pasukan yang bertanding merebut piala berprestij itu yang melayakkan mereka untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, emas yang merangkul sebiji bola pada bahagian atas trofi menunjukkan nilai tinggi emas sinonim dengan dominasi iaitu hanya pasukan yang layak boleh me­rangkul trofi berkenaan selepas penat lelah menjuarai liga.

“Logo pasukan yang menjuarai liga super setiap tahun akan dipateri di bahagian pusat trofi sebagai simbolik pasukan menjuarai liga,” katanya.

Kelab Johor Darul Takzim (JDT) akan mengukir nama sebagai pasukan pertama merangkul trofi baharu sejurus menjuarai Liga Super empat kali berturut-turut.

Acara gilang-gemilang bagi meraikan kejayaan itu akan berlangsung di Dataran Bandaraya Johor Bahru malam ini selepas skuad itu menentang Kelantan dalam saingan liga di Larkin.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *