Kanak-Kanak Maut 67 Kali Disengat Tebuan

 

KANAK-KANAK lelaki berusia dua tahun maut selepas terkena 67 sengatan tebuan di Kampung Padang, Kuantan.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam itu, mangsa Khaleef Eusoff dikatakan sedang bermain di luar rumahnya sebelum menghampiri kawasan sarang tebuan yang terletak kira-kira 10 meter dari luar kawasan rumah.

Bapa mangsa Raafiee Abdul Rahim, 39, berkata, ketika kejadian dia sedang berkebun sementara anaknya bermain berhampiran dengannya.

Bagaimanapun, dia dikejutkan dengan jeritan dan tangisan anak bongsunya itu sebelum mendapati badan anaknya dipenuhi haiwan berbisa berkenaan.

“Saya segera menarik dan membersihkan badannya hingga saya turut disengat tebuan sebelum kami membawanya ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Saya dan isteri kemudian membawa anak kami ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana hospital itu mempunyai kemudahan yang lengkap untuk merawat Khaleef,” katanya.

Raafiee berkata, anak lelakinya kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira 8 pagi hari ini disebabkan kandungan toksik di dalam darah terlalu tinggi hingga menggagalkan sistem organ dalaman lain untuk berfungsi.

Katanya, Khaleef selamat dikebumikan jam 2.30 petang, hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang dan pihaknya sudah memaklumkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk melakukan kerja pembersihan dan memusnahkan kawasan sarang terbuan itu.

Menurut Raafiee, dia menyedari kewujudan sarang tebuan itu sejak beberapa hari lalu yang mana ia terletak di kawasan tong drum yang ditinggalkannya di luar kawasan rumah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *