Datuk Seri Ditahan Bukit Aman Tipu RM3.75 juta

 

JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menahan seorang dalang lelaki bergelar Datuk Seri di Melaka sekaligus menumpaskan Skim Pelaburan Kongsi Makan Bhd membabitkan kerugian RM3.75 juta awal pagi, hari ini.

Pengarahnya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima 113 laporan polis berkenaan skim itu dan bertindak daripada maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota daripada JSJK Bukit Aman menyerbu sebuah rumah di Melaka bagi menahan seorang lelaki yang disyaki berperanan sebagai dalang utama skim ini.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki bergelar Datuk Seri berusia 39 tahun ditahan. Turut dirampas sebuah kenderaan model Range Rover, dua unit telefon iPhone 7 Plus dan pelbagai dokumen syarikat.

“Suspek ditahan reman tiga hari dan semua rampasan diserahkan kepada JSJK Kuala Lumpur untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, ” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Acryl Sani

Katanya, syarikat itu mendakwa menjalankan perniagaan dengan objektif utama untuk membantu peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menjual produk mereka melalui stokis milik syarikat.

“Untuk mendaftar, pelabur dikehendaki membayar keahlian sebanyak RM1,700 untuk set dan dijanjikan bonus selepas tiga bulan antara RM800 hingga RM1200 untuk setiap set.

“Bagaimanapun, selepas bayaran diberikan, bonus yang dijanjikan tidak

dibayar. Siasatan turut mendapati dianggarkan 70,000 ke 80,000 orang sudah menyertai skim pelaburan ini.

Menurutnya, tindakan juga akan diambil di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *