TAHFIZ: Kedai Dah Tutup Baru Mereka Muncul

“KAMI tak kenal budak-budak itu, sebab kami difahamkan mereka melepak di kedai kami pada lewat malam selepas kedai ditutup,” kata pekerja kedai minum Cek Mek Molek yang enggan namanya disiarkan susulan tujuh remaja ditahan dipercayai merancang kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Khamis lalu.

Berdasarkan maklumat yang tersebar, kedai minum Cek Mek Molek adalah lokasi terakhir kumpulan remaja berkenaan berkumpul pada jam 2.30 pagi dipercayai untuk berbincang membakar pusat tahfiz itu yang dilakukan kira-kira 4.40 pagi.

Pekerja kedai minum itu berusia 30-an berkata, kedai berkenaan dibuka seawal 7 pagi hingga 5 petang dan tidak mengetahui sebarang perkara yang berlaku pada waktu malam.

Katanya, dia diberitahu oleh kakitangan pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang bersebelahan dengan kedai itu bahawa kedai minum berkenaan sering dikunjungi dan menjadi tempat melepak beberapa remaja nakal pada waktu tengah malam.

“Kami tidak mengenali remaja yang ditangkap itu kerana kami bukan tinggal di kawasan taman ini, lagipun ramai remaja yang selalu datang, kami tak kenal yang mana satu.

“Kedai kami juga tidak pernah berlaku kecurian serius cuma pernah kehilangan satu tong gas yang tidak mempunyai isi (kosong) lebih sebulan lalu,” katanya ketika ditemui di kedai itu yang hanya 50 meter daripada pusat tahfiz yang terbakar di Kampung Datuk Keramat, hari ini.

Menurutnya, dia menafikan kedai minum itu dinamakan sebagai Cek Mek Molek sebaliknya nama kedai itu adalah kedai Sembang Cafe.

“Mungkin kumpulan remaja di sini menggelarkan nama itu, kami pun tidak tahu dari mana datangnya nama kedai Cek Mek Molek.

“Saya dan rakan saya pun baru tiga bulan lebih bekerja di sini, kami belum kenal sepenuhnya berkaitan persekitaran dan gelagat penduduk di sini sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai kejadian kebakaran itu ketika mahu membuka kedai minum berkenaan pada Khamis lalu selepas melihat ramai orang berkerumun di kawasan pusat tahfiz berkenaan.

“Ketika itu api sudah dipadam. Saya juga hanya mengetahui ia dilakukan oleh beberapa remaja melalui laman sosial yang mana gambar mereka sudah tersebar.

“Saya tak boleh nak cakap apa-apa, saya tak kenal mereka dan biarlah polis yang buat kerja,” katanya.

Khamis lalu, 21 pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 5.15 pagi.

Susulan daripada kejadian itu, tujuh remaja ditahan dipercayai merancang kebakaran itu dan enam daripada mereka didapati positif ganja ketika ditahan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *